Published: on 26 April 2012
CONNIE S MONICAL
GADIS bertubuh kecil, Hiral Doshi, 26, memulakan perniagaan dengan menjual manik dan renda yang diperoleh dari India sejak tiga tahun lalu.
Manik dan renda itu dipasarkan di beberapa kedai jahit dan butik sekitar Lembah Klang dengan menghasilkan reka bentuk tersendiri untuk hiasan baju. Namun, hanya pada Ogos tahun lalu, Hiral memperluaskan perniagaan dengan menghasilkan produk dengan jenama sendiri berasaskan renda dan manik.
Akhirnya, dengan bermodalkan RM40,000 hasil wang simpanan dan minat yang mendalam terhadap kasut telah membawanya untuk menghasilkan kasut rekaan dengan kreativiti tersendiri.
Menurut Hiral, pada asalnya, dia berhasrat memulakan perniagaan melalui atas talian, namun tidak mengetahui jenis produk yang ingin diketengahkan, bagaimanapun, yang pasti dia ingin mencuba sesuatu perniagaan unik dan mampu memberikan pendapatan menguntungkan.
“Akhirnya pada Ramadan tahun lalu, saya memulakan perniagaan menjual kasut rekaan sendiri dalam talian bersandarkan pengalaman dan tunjuk ajar ayah yang juga menjalankan perniagaan dari rumah.
“Ketika itu, saya ada juga berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), bagaimanapun sambutan agak perlahan kerana menurut sesetengah pelanggan, harga kasut itu agak mahal bagi kasut buatan tempatan,” katanya kepada Sinar Harian, di rumahnya, di Kuala Lumpur.
Lahir jenama sendiri ZD
Pada awalnya, kasut rekaannya tidak mempunyai jenama untuk melihat terlebih dahulu sambutan pengguna serta menguji pasaran.
Hiral berkata, perniagaan kasut secara dalam talian menerima sambutan daripada pelbagai golongan pengguna tempatan, bahkan kasutnya juga turut menerima tempahan daripada pelanggan luar negara seperti Singapura, Australia, Afrika dan Amerika Syarikat.
Hanya sebulan kemudiannya, atas sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan, maka lahirnya kasut rekaan tempatan Zenith Divas (ZD) yang bermakna di atas puncak, sekali gus membawa nama itu ke seluruh pelosok tanah air daripada pelbagai lapisan umur dan kaum.
“Saya tidak mempunyai pengalaman mereka bentuk kasut sendiri, namun saya banyak membaca dan membuat kajian sendiri melalui Internet dan buku serta mengikut trend kasut semasa.
“Kesemua kasut yang dihasilkan mempunyai rekaan unik tersendiri setanding kasut rekaan terkemuka yang sukar ditemui di kedai-kedai kasut di luar sana kerana keistimewaan manik dan renda serta kasut ini dibuat 100 buatan tangan oleh kilang yang terletak di Ampang,” katanya yang juga bekas kakitangan syarikat swasta dalam bidang akauntan.
Terima tempahan majlis khas
“Selain itu, pelanggan juga boleh membuat tempahan kasut (custom made) mengikut rekaan yang dipilih dan saiz atau warna yang sama dengan baju digunakan.
“Namun, tempahan seperti ini biasanya diterima daripada pelanggan yang mempunyai saiz kaki yang agak besar atau kecil, tempahan perkahwinan, hantaran dan majlis-majlis tertentu yang ingin disesuaikan dengan warna baju yang diperagakan,” katanya.
Menurutnya, ramai pelanggan yang menempah kasut bagi majlis perkahwinan atau dijadikan kasut sebagai barang hantaran, yang direka khas untuk saiz kaki pemilik. Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh menempah kasut dan tas tangan yang sedondon.
Kasut ZD yang direka dengan kombinasi manik dan renda itu kelihatan agak mewah jika digunakan bagi kegunaan harian. Oleh itu, kasut-kasut ZD lebih sesuai digunakan bagi majlis rasmi.
Bagaimanapun, terdapat beberapa reka bentuk, kasut yang masih boleh digunakan ketika kegunaan harian.
Hasilkan 30 kasut rekaan sendiri
Hiral berkata, sejak tahun lalu, ZD berjaya menghasilkan 25 hingga 30 reka bentuk kasut dengan pengeluaran purata 300 pasang kasut sebulan yang mampu menjana pendapatan sekitar RM5,000 hingga RM6,000.
“Setiap bulan, untuk kasut sedia ada, saya akan menempah 50 atau 80 pasang mengikut reka bentuk.
“Dari segi harga pula, kasut ZD dijual dengan harga bermula RM65 hingga RM99 sepasang bagi kasut sedia ada, manakala kasut yang ditempah khas dengan harga RM95 hingga RM300 bergantung kepada jenis kasut dan rekaan,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini ZD telah berjaya menjual sehingga 900 pasang kasut dan pelbagai saiz sejak Ogos tahun lalu.
Hiral berkata, dari segi tempahan pula, ZD akan menerima tempahan kasut yang banyak ketika musim perayaan seperti hari raya dan Deepavali dengan tempahan purata 20 sehingga 50 pasang sehari.
Hasrat miliki butik sendiri
Katanya, sasaran tahun ini adalah dengan menghasilkan sekurang-kurangnya 25 lagi reka bentuk kasut baru termasuk kasut yang sesuai digunakan untuk kegunaan harian seperti wedges dan kasut kerja.
Sebagai salah satu perancangan dalam tempoh tiga bulan akan datang, Hiral turut berhasrat menghasilkan jubah dan tudung rekaan sendiri yang dihiasi dengan manik serta renda.
“Saya berhasrat untuk menghasilkan jubah dengan rekaan kombinasi gaya Melayu dan India,” katanya.
Hiral berkata, ZD berhasrat memiliki butik kasut sendiri, sekali gus menjadi salah satu jenama terkemuka negara setanding dengan jenama antarabangsa dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Sehingga kini, Hiral telah menghasilkan beberapa produk berasaskan renda dan manik seperti rantai, kerongsang, tas tangan dan cekak rambut.
No comments:
Post a Comment