KANGAR, 4 Nov (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra
Jamalullail mencadangkan Kolej Komuniti mewujudkan hub keusahawanan
untuk membolehkan usahawan serta bakal usahawan mendapatkan maklumat
tepat mengenai kegiatan perniagaan dan ekonomi.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=706924
Published: November 05, 2012
Titah baginda Kolej Komuniti juga perlu menyediakan pelbagai latihan
komprehensif kepada usahawan baru untuk meningkatkan kemahiran mereka.
"Langkah ini akan membantu negara melahirkan lebih banyak usahawan di
negara ini," titah baginda ketika menutup program Cabaran Keusahawanan
Kolej Komuniti 2012 peringkat kebangsaan Piala Menteri Pengajian Tinggi
di Dataran Dato' Sheikh Ahmad di sini Ahad.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah bidang keusahawanan amat penting kerana
ia akan membantu mengurangkan kadar kemiskinan baik untuk diri sendiri
mahupun negara di samping menyumbang peningkatan ekonomi negara.
"Sungguhpun bilangan usahawan baharu semakin bertambah, namun tidak
kurang juga yang tidak berjaya kerana tidak mempunyai pengalaman dan
kelayakan dalam bidang perniagaan," titah baginda.
Baginda menasihati usahawan mengatur strategi yang lebih mantap dan
tersusun termasuk melengkapkan diri dengan keupayaan kewangan, tenaga
kerja dan peralatan.
Sebelum itu Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Kementerian
Pengajian Tinggi, Amir Md Noor dalam ucapannya berkata sebanyak 73 kolej
komuniti seluruh negara menyertai program itu yang turut membabitkan
pertandingan bagi kategori produk makanan, produk bukan makanan dan
perkhidmatan.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment