Monday, November 5, 2012

Lahir usahawan digital global

TELEKOM Malaysia Berhad (TM), Startup Malaysia.org (www.startupmalaysia.org/dmcap/) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) menganjurkan Program Pacuan Korporat Digital Malaysia bertujuan melahirkan usahawan digital global tempatan.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lahirusahawandigitalglobal/Article/index_html
Published: November 05, 2012

Ketua Pegawai Eksekutif Mdec, Datuk Badlisham Ghazali berkata, ini adalah Program Pacuan Korporat pertama di negara ini dan perkongsian itu selaras dengan inisiatif Digital Malaysia untuk menembusi permintaan dunia selain memberi platform kepada usahawan digital menjadi ikon global dalam lingkungan kumpulan itu.

“Program Pacuan Korporat Digital bermula hari ini akan memilih lima penyelesaian terbaik sejajar dengan keperluan perniagaan TM. Kemudian ia akan diletakkan dalam program pacuan selama tiga bulan di bawah bimbingan mentor global di kemudahan inkubator di Cyberjaya.

“Di bawah program ini, usahawan akan diberi akses kepada pengetahuan industri, pengetahuan pasaran dan saluran pengedaran tentang permintaan produk dan perkhidmatan digital. Perkongsian kami dengan Telekom Malaysia dan StartupMalaysia akan membantu mempercepatkan pertumbuhan usahawan digital Malaysia.

“Matlamat jangka panjang kami untuk memangkin 4,000 usahawan digital menjelang 2020 bekerja sama dengan mentor global,” katanya.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah serta Penaung StartupMalaysia.org, Dash Dhakshinamoorthy serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

Badlisham berkata, permintaan pasaran digital terutamanya di segmen seperti pengkomputeran awan, perisian, permainan video, peruncitan mobiliti dan dagangan elektronik menyediakan peluang luas dengan unjuran pertumbuhan yang besar.

No comments: