Wednesday, November 7, 2012

Teknologi Nano pilihan PO&G

Walaupun penglibatan Bumiputera dalam bidang pengeluaran minyak pelincir masih di tahap rendah, namun tidak menjadi penghalang kepada Platinum Oil & Gas (PO&G) Sdn Bhd menerokainya sejak dua tahun lalu.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/teknologi-nano-pilihan-po-g-1.101574
Published: November 07, 2012

Teknologi Nano pilihan PO&G
Suhaimi (dua, kanan) memberi penerangan kepada 
warga kerja sebelum menghantar produk kepada pengedar.
 
Teknologi Nano pilihan PO&G
Suhaimi (tiga, kanan) bersama warga kerja PO&G.

Seiring kemajuan teknologi yang semakin berkembang, menarik perhatian Pengarah Eksekutif PO&G Sdn Bhd, Datuk Suhaimi Hashim menceburi bidang berkenaan.

Teknologi Nano menjadi pilihan syarikat tersebut bagi mengeluarkan minyak pelincir yang membolehkan molekul masuk ke celah garis halus antara geseran bendalir serta mengecilkannya sehingga sepuluh kali ganda.


Hasil lapan produk dalam dua tahun

Suhaimi berkata, sepanjang dua tahun berkecimpung dalam bidang ini, syarikat telah mengeluarkan lapan produk minyak pelincir untuk kenderaan berat dan ringan.

Menurutnya, PO&G berhasrat mengeluarkan tiga produk baru khusus kepada pengguna skuter, motosikal berkuasa tinggi dan biasa.

“Penggunaan bahan mentah diperoleh dari Amerika Syarikat, tetapi teknologi dan pengilangan dilakukan secara tempatan.

“Sama seperti minyak pelincir lain, PO&G juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti ISO 9001, Society of  Automotif Petroleum (SAP) dan American Petroleum Institute (API),” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kualiti produk menjadi keutamaan syarikat bagi memastikan jualan sentiasa meningkat, sekali gus mampu bersaing dengan lebih 120 jenama tempatan melibatkan syarikat besar dan kecil.


Jimat RM100 setiap kali servis

Menurut Suhaimi, menjadi satu-satunya syarikat Bumiputera yang menerajui teknologi Nano dalam industri kejuruteraan minyak pelincir tidak mudah, dan syarikat sentiasa mengetengahkan kelainan.

Katanya, pengguna dapat menjimatkan RM100 setiap kali servis menggunakan minyak PO&G kerana penukaran seterusnya hanya perlu dilakukan selepas 15,000 kilometer.

“Minyak pelincir PO&G dapat menjimatkan antara 10 hingga 20 peratus petrol dan tahan geseran empat hingga lima kali ganda selain meningkatkan prestasi enjin.

“Antara kelebihan minyak ini, dapat jimatkan kos, memelihara jangka hayat enjin, berkualiti dan kurangkan bunyi deruman enjin,” katanya.


Tembusi Turki, Vietnam 2013

Menurut Suhaimi, sehingga kini, syarikat telah melantik lebih 120 pengedar dan wakil pengedar bagi pasaran Semenanjung Malaysia serta Sarawak.

Katanya, walaupun masih menumpukan pasaran tempatan, tetapi perundingan telah dilakukan bagi menembusi Turki dan Vietnam pada 2013.

“Syarikat menyasarkan peningkatan perolehan sebanyak tiga kali ganda iaitu RM10 juta berbanding tahun 2011 hanya RM3 juta dan mengekalkannya sehingga tahun ini.

“Menakluki pasaran antarabangsa bagi dua negara itu mendorong kepada peningkatan perolehan dan menyasarkan sumbangan sebanyak 25 peratus di peringkat awal,” katanya.

Suhaimi berkata, bagi mengukuhkan lagi jenama minyak pelincir keluaran PO&G, syarikat telah melaburkan sebanyak RM250 bagi pengiklanan dan promosi tahun ini.

Menurutnya, penerimaan memberangsangkan daripada pengguna mendorong kepada penambahan 80 cawangan baru bagi melengkapkan 200 kesemuanya dan optimis dapat menguasai pasaran sebanyak lima peratus dalam masa tiga tahun.

“Harga jualan bagi minyak pelincir ini serendah RM49 hingga RM228 bergantung pada kualiti. Pengguna boleh terus menghubungi pejabat menerusi talian 03-55415757 untuk sebarang pertanyaan,” katanya.

No comments: