KOTA BHARU - Sejak lebih tiga tahun lepas, Mat Jaafar Awang Chik giat
menjaja ikan dan sayur-sayuran kepada penduduk kampung berdekatan
Pengkalan Chepa di sini. Mat Jaafar dari Kampung Gong Limau, Jalan Pulau Panjang di Pengkalan
Chepa terlibat dalam perniagaan secara kecil-kecilan sejak 30 tahun.
Sebelum 2009, beliau hanya menggunakan motosikal 'cupcai' dua roda yang
memuatkan sebuah tong sarat dengan ikan dan sayur-sayuran untuk dijual
dari rumah ke rumah.
Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/fama-perkasakan-rangkaian-peruncitan-1.101414
Published: November 07, 2012
Pada 2009, 'mini market' atas motosikal dua roda yang digunakan Mat
Jaafar dinaik taraf kepada tiga roda di bawah program pemasaran Lembaga
Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
Di bawah program pemasaran agensi berkenaan, peserta terpilih hanya
perlu membayar balik separuh daripada harga motosikal tersebut secara
berperingkat.
Pendapatan Bertambah
Rutin hariannya, selesai solat subuh, Mat Jaafar menunggang motosikal
tiga rodanya yang dilengkapi bumbung untuk mengambil bekalan jualan
seperti ikan, telur, sayur-sayuran, kuih muih dan barangan runcit lain
di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjung dekat sini.
"Saya akan selesai berniaga antara pukul 3 dan 4 petang. Hasil jualan
yang diperoleh antara RM200 dan RM300 sehari, bertambah berbanding
ketika menggunakan motosikal 'cupcai' dulu.
"Dengan adanya motosikal baru ini ia amat memudahkan, banyak barang
boleh muat, lagipun ia tahan maklumlah motosikal baru berbanding yang
lama dulu kerap rosak," katanya yang mempunyai enam orang anak, kepada
Bernama ketika ditemui di RTC itu.
Sumber Fama menyatakan sejak 2009 hingga 2011 terdapat 239 unit
motosikal tiga roda di seluruh negara dengan nilai jualan sebanyak RM8.4
juta manakala di Kelantan terdapat 21 unit dengan nilai jualan bagi
tempoh Januari hingga Februari tahun ini (2012) ialah RM24,430.
Agro Bazaar Kedai Rakyat
Sementara itu, peluang yang diberikan Fama kepada Mohd Jali Sulaiman,
mengusahakan Agro Bazar Kedai Rakyat di Tanah Merah pada 2007, ternyata
membawa keuntungan lumayan dalam perniagaannya.
Berjinak dalam bidang perniagaan dengan berniaga kecil-kecilan di Pasar
Tani, Mohd Jali dengan bantuan dan khidmat nasihat daripada Fama,
beliau berjaya menguruskan agro bazar kedai rakyat tersebut sehingga
mencapai hasil jualan kira-kira RM3.5 juta pada tahun lepas dan pada
tahun ini beliau menyasarkan nilai jualan sebanyak RM5 juta.
Terletak di KM 3 Jalan Ismail Petra, agro bazar kedai rakyat itu sering
menjadi tumpuan orang ramai sekitar Tanah Merah kerana di situ terdapat
pelbagai barangan runcit dan hasil pertanian segar dijual dengan harga
berpatutan.
Susun atur rak barangan yang kemas dan ruang meletak kenderaan yang
luas memberi keselesaan kepada orang ramai untuk membeli-belah di agro
bazar kedai rakyat itu.
"Semua keperluan dapur boleh dikatakan terdapat di sini, kita ada
buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang diambil terus dari ladang. Kita
juga ada ayam, daging dan ikan segar yang dijual mengikut harga
pasaran, malah mereka yang gemarkan daging rusa juga boleh dapatkannya
di sini, di samping ayam kampung dan itik serati," katanya.
Sumber Fama menyatakan sejak 2009 hingga 2011 terdapat 146 unit agro
bazar kedai rakyat di seluruh negara dengan nilai jualan sebanyak RM87.6
juta manakala sasaran penubuhan agro bazaar kedai rakyat pada tahun ini
ialah 70 unit.
Rangkaian Peruncitan Fama Semakin Popular
Motosikal tiga roda, agro bazar kedai rakyat, pasar tani dan gerai
buah-buahan segar, adalah rangkaian peruncitan yang sedang diperkasakan
oleh Fama bagi memastikan hasil pertanian berskala ladang sehingga
kecil-kecilan yang diusahakan penduduk di sekeliling rumah, mempunyai
ruang pemasaran yang terjamin.
Rangkaian peruncitan tersebut kini semakin popular dalam kalangan
pengguna sama ada di kawasan bandar dan luar bandar, kerana
keistimewaannya yang tersendiri, meskipun jumlahnya perlu ditambah lagi.
Agensi pemasaran itu yang ditubuhkan pada 1965 menyedari dengan
rangkaian pemasaran yang kukuh dan meluas di seluruh negara, nasib
mereka yang terlibat dalam sektor pertanian akan terbela dengan
pendapatan yang lumayan manakala pengguna pula akan memperolehi hasil
pertanian yang segar terus dari ladang dengan harga yang berpatutan.
Dalam tempoh dua tahun mulai tahun depan, Fama akan mewujudkan 1,000
pasar tani, agro baazar kedai rakyat (1,000), gerai buah-buahan segar
(1,000) dan motosikal roda tiga (1,000). Sehingga Februari tahun ini,
terdapat 472 pasar tani, agro baazar kedai rakyat (150), gerai
buah-buahan segar (423) dan motosikal tiga roda (239).
Ketika melawat Agro Bazaar Kedai Rakyat Tanah Merah baru-baru ini,
Pengerusi Fama Tan Sri Badruddin Amiruldin menegaskan bahawa rangkaian
peruncitan tersebut akan turut berfungsi sebagai ejen Fama untuk membeli
hasil pertanian mengikut harga pasaran dan gred bagi sesuatu jenis
hasil pertanian itu.
"Pak Tani (petani) yang bercucuk tanam di kawasan Tanah Merah ini boleh
terus jual hasil tanaman mereka di agro bazar kedai rakyat ini. Dia
mewakili Fama di sini, menjadi ejen Fama untuk membeli hasil tanaman
daripada petani untuk dipasarkan, ini bermakna hasil tanaman daripada
peladang terus masuk ke agro bazar dan terus kepada pengguna.
"Fama tidak boleh wujud pejabatnya di seluruh pelosok kampung, jadi
dengan kita wujudkan agro bazar kedai rakyat, pemilik agro bazar ini
dengan sendirinya menjadi ejen Fama, kalau orang kampung hendak jual
ayam, itik, buah-buahan, kelapa, sayur-sayuran, bawa ke sini," kata
Badruddin.
Fama Jamin Beli Hasil Keluaran Petani
Beliau berkata Fama memberi jaminan kepada petani bahawa pasaran bagi
hasil tanaman mereka adalah terjamin dengan mereka akan mendapat
pulangan yang lumayan begitu juga dengan peniaga yang terlibat.
Begitu juga dengan peranan peniaga motosikal tiga roda di samping
mereka masuk ke kampung-kampung untuk memasarkan hasil pertanian, mereka
juga bertanggungjawab untuk membeli hasil pertanian daripada penduduk.
"Jadi kalau ada 1,000 buah motosikal tiga roda di seluruh negara, orang
kampung boleh bercucuk tanam, dulu orang kampung tanam tetapi nak pasar
tak ada tempat. kalau dia (orang kampung) ada cili sekilo, nak makan
tak habis, tetapi kalau ada motosikal tiga roda boleh datang beli dan
hantar ke agro bazaar," katanya.
Badruddin berharap penduduk di kawasan luar bandar tidak membiarkan
tanah mereka terbiar sebaliknya bercucuk tanam kerana Fama memberi
jaminan akan membeli hasil tanaman tersebut.
"Di Kelantan, kita sudah ada Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di
Tunjung di sini, ia adalah pusat pengumpulan hasil pertanian terbesar di
negeri ini dan pemasaran secara borong ke seluruh negara," katanya
dengan menambah RTC juga dijadikan Pusat Pembidaan Ternakan pertama
negara.
Sempena pelancaran pusat pembidaan tersebut pada 6 Okt lepas, hampir
100 ternakan lembu dan kambing bernilai RM250,000 dijual kepada orang
ramai.
Fama juga bersedia untuk membimbing petani dengan memberi khidmat
nasihat bagaimana untuk menghasilkan tanaman yang berkualiti tinggi dan
mendidik mereka memahami keperluan pengguna, supaya mereka memperolehi
pulangan yang lumayan.
Dengan pengukuhan rangkaian peruncitan tersebut, beliau percaya peranan
orang tengah akan dapat dikurangkan atau dihapuskan daripada pemasaran
hasil pertanian, yang selama ini mereka mengaut keuntungan besar
manakala petani tertindas.
Badruddin turut menyifatkan Belanjawan 2013 yang dibentangkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak 28 September lepas, belanjawan yang
memberi kesejahteraan kepada penduduk khususnya di kawasan luar bandar
manakala seramai 22,000 peserta pasar tani dan peserta lain Fama
mendapat perlindungan insurans yang dikhaskan kepada penjaja. - Bernama
No comments:
Post a Comment