BUTTERWORTH - Kerajaan akan menambah dana tambahan RM500 juta untuk
Program Pembiayaan Teras bagi membolehkan lebih banyak syarikat
dibangunkan menerusi program berkenaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata
tambahan dana itu akan disalurkan selepas peruntukan sedia ada berjumlah
RM500 juta habis diagihkan kelak.
Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/kerajaan-tambah-dana-rm-500-juta-untuk-program-teras-1.101791
Published: November 08, 2012
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=707666
Published: November 08, 2012
Katanya penambahan dana itu juga menunjukkan sambutan syarikat
perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera terhadap Teras sangat
menggalakkan.
"Program Teras telah menunjukkan kejayaan yang baik dan kerajaan memang
merancang untuk menambah dana sebanyak RM500 juta lagi bagi membolehkan
lebih banyak syarikat Bumiputera dibangunkan menerusi program itu.
"Kerajaan akan bagi dana itu menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera
(Teraju) yang dipertanggungjawabkan menguruskan program Teras terbabit
selepas dana sedia ada telah habis," katanya kepada pemberita selepas
Majlis Pelancaran Program Penajaan Akhbar dalam darjah Parlimen Tasek
Gelugor, di sini hari ini.
Nor Mohamed berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar
hari ini yang melaporkan Teraju meminta kerajaan menambah dana bagi
program Teras berikutan sambutan menggalakkan terhadap dana itu sejak ia
dilancarkan Ogos lepas.
Ketua Eksekutif Teraju Husni Salleh berkata pihaknya berkemungkinan
besar memohon dana tambahan itu jika peruntukan sedia ada yang berjumlah
RM500 juta habis dalam tempoh terdekat.
Program Teras yang dilancarkan kerajaan bermatlamat meningkatkan
penyertaan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera
tempatan dalam ekonomi.
Sementara itu, Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor
berkata program penajaan akhbar itu adalah salah satu daripada usaha
kerajaan untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam Bahasa Inggeris.
"Ia juga adalah usaha mewujudkan sebuah komuniti yang berpengetahuan
menjelang negara maju pada 2020. Kerajaan juga mahu sekurang-kurangnya
rakyat Malaysia mampu menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa iaitu
Bahasa Malaysia dan Inggeris dan ini adalah salah satu caranya (penajaan
akhbar dalam darjah)," katanya.
Katanya 31 sekolah termasuk 10 sekolah menengah dalam Parlimen Tasek
Gelugor terpilih untuk menerima penajaan akhbar sepanjang tahun ini dan
2013.- Bernama
No comments:
Post a Comment