BAGAIMANA seorang usahawan boleh menyediakan kertas cadangan yang mantap untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan?
JAWAPAN: Tidak ramai orang, termasuklah lulusan universiti yang
pernah membayangkan diri mereka akan menjadi usahawan yang berjaya
ketika mereka mula-mula menceburi dunia kerjaya.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121110/ek_02/Memanfaatkan-kemudahan-perbankan-untuk-usahawan-memulakan-perniagaan
Published: November 10, 2012
Kebanyakan mereka menganggap diri amat bernasib baik kerana berjaya
mendapat kerja dan berharap untuk mengumpul cukup duit bagi membeli
kereta, mendirikan rumah tangga dan kemudian membeli rumah.
Walaupun sebahagian besar daripada pekerja sudah berpuas hati apabila
mendapat kerja, ada pula yang silih bertukar majikan, sama ada untuk
menyahut cabaran baharu, menguasai kemahiran baharu, atau memperoleh
gaji lebih tinggi.
Segelintir daripada mereka kemudian membuat keputusan untuk bekerja
sendiri dan memulakan perniagaan sendiri, dan dalam proses tersebut
menjadi seorang yang digelar usahawan.
Pada hakikatnya, tidak ramai yang secara sedar membuat keputusan
untuk menjadi usahawan, terutamanya selepas mengikuti kisah kegagalan
perniagaan dan kemuflisan korporat.
Terdapat pelbagai aspek penting yang perlu dipertimbangkan oleh
individu dan setiap satu aspek mungkin membawa kepada kejayaan atau
kegagalan perniagaan usahawan.
Untuk menjadi usahawan berjaya, seseorang itu mesti mempunyai
beberapa sifat istimewa, termasuk kesungguhan, kreativiti, disiplin dan
bercita-cita tinggi.
Walaupun wang modal sudah tentu diperlukan bagi memulakan perniagaan
baru, anda juga perlu menyusun rancangan perniagaan kukuh yang mengambil
kira semua isu pemasaran dan kewangan.
Buat permulaan, seorang usahawan perlu tahu di mana untuk mendapatkan
sumber pembiayaan, sama ada daripada ahli keluarga, sahabat handai,
bakal rakan kongsi, pembekal, bank, firma kredit, syarikat kewangan,
syarikat kad kredit dan sebagainya.
Mereka juga perlu teliti dalam soal penggunaan dana tersebut,
contohnya untuk membeli stok, memberi kemudahan kredit kepada pelanggan,
membayar upah dan bil utiliti, membeli aset untuk menjana pendapatan
dan sebagainya.
Bagaimanapun, jika usahawan perlu mendapatkan pembiayaan daripada
bank, mereka perlu tahu bahawa sumber dana berbeza yang diperolehi mesti
digunakan untuk kegunaan atau keperluan berbeza.
Jika dana jangka pendek seperti overdraf digunakan untuk membiayai
aset jangka panjang seperti tanah dan bangunan, maka perniagaan akan
menghadapi masalah aliran tunai jika keadaan ekonomi dan kewangan di
pasaran bertambah buruk.
Persoalannya ialah bagaimana seorang usahawan boleh menyediakan
kertas cadangan yang mantap untuk mendapatkan pembiayaan bagi
perniagaan?
Teruskan membaca ruangan ini kerana dalam artikel artikel seterusnya
pada setiap Sabtu, kita akan membincangkan beberapa unsur penting yang
perlu ditekankan oleh usahawan, yang juga merupakan faktor utama yang
dinilai oleh bank dalam sesuatu kertas cadangan.
PENULIS merupakan Ketua Perbankan Perniagaan & Pembangunan Bumiputera, OCBC Al-Amin Bank Berhad.
No comments:
Post a Comment