Saturday, November 17, 2012

Pemasaran melalui enjin carian untuk berjaya dalam perniagaan bagi PKS

Faktor utama kejayaan dalam talian adalah dalam menghubungkan pengguna dengan informasi. Pengguna kini lebih menitikberatkan harga, lalu menghabiskan lebih masa membuat kajian dan carian untuk mendapatkan tawaran yang terbaik. Laporan industri menyatakan para pengguna di Malaysia menghabiskan masa selama 20 jam seminggu (secara purata) di Internet, dan kini terdapat lebih daripada 18 juta pengguna Internet di Malaysia.

PKS di negara ini akan terlepas salah satu peluang utama dalam memasarkan produk kepada pengguna sekiranya mereka masih berlengah memasarkan produk mereka secara dalam talian, di mana pelanggan mereka kini berada. Bukan itu sahaja, pemasaran atas talian juga memberikan peluang kepada perniagaan untuk meluaskan pasaran mereka kepada pelanggan tempatan mahupun antarabangsa secara kos-efektif.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121117/ek_03/Pemasaran-melalui-enjin-carian-untuk-berjaya-dalam-perniagaan-bagi-PKS
Published: November 17, 2012

Bijak berbelanja dan memaksimumkan pemasaran enjin carian

Pemasaran melalui enjin carian merupakan strategi yang baik untuk PKS di Malaysia. Platform pemasaran seperti Google Adwords membolehkan perniagaan menyasarkan pelanggan baru dan sedia ada di mana sahaja di dunia, mengetahui siapa yang aktif mencari produk dan perkhidmatan melalui dalam talian dan ingin membuat pembelian, dengan memperlihatkan iklan yang relevan dengan hasil carian. PKS hanya dikenakan caj apabila pelanggan berpotensi klik pada iklan mereka. Tiada sebarang kos pendahuluan diperlukan dan PKS boleh menetapkan had perbelanjaan harian atau bulanan untuk mengawal dan menguruskan bajet untuk pengiklanan.

Dengan modal yang amat terhad ketika memulakan perniagaan, CWorks, sebuah syarikat PKS tempatan yang menyelenggara sistem berkomputer, mengenalpasti pelanggan mereka dan membuat carian secara dalam talian terlebih dahulu sebelum menguji beberapa pemasaran melalui enjin carian. Mereka dapati Google AdWords menyediakan CPC (Cost-Per-Click) terbaik dengan pasaran terbesar.

CWorks kini mempunyai pelanggan di lebih 100 negara dan Google AdWords menyumbang 70 peratus daripada trafik harian ke laman mereka. Kini, mereka menerima antara 1,000 hingga 3,000 pengunjung setiap hari, dan mendapat sekurang-kurangnya satu jualan setiap hari dan mendapati setiap ringgit yang dibelanjakan di Google AdWords, menjana sekurang-kurangnya RM14 dari segi pendapatan.

Di sini disertakan tujuh tip-tip praktikal untuk membantu anda memulakan pemasaran melalui enjin carian dan mendapatkan hasil yang lebih baik untuk perniagaan anda:

Tips Pemasaran Enjin Carian
1) Ketahui pelanggan sasaran anda. Ketepatan adalah kunci kepada pemasaran enjin carian melalui program seperti Google AdWords. Anda ingin mencapai pengguna yang tepat setiap masa. Pastikan produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan, serta pelanggan yang akan membelinya.

2) Ketahui matlamat anda. Adakah untuk meningkatkan trafik, meningkatkan pelanggan ataupun untuk memasarkan jenama? Ketahui objektif agar anda boleh mengukur kejayaan. Rancang sesuatu kempen berdasarkan matlamat yang senang dan mampu dicapai.

3) Pilih kata-kunci yang tepat. Letak diri anda di tempat pelanggan. Fikirkan senarai kata kunci, dan ringkaskannya dengan memilih yang benar-benar tepat, berfungsi dan kena dengan sasaran pelanggan anda. Gunakan kombinasi dua ke empat kata kunci berbanding hanya kata kunci biasa. Tambahkan pelaburan ke atas kata kunci tersebut untuk memaksimumkan pendapatan anda. Dengan kata kunci yang baik, pendapatan yang dijana oleh PKS akan menjadi lebih tinggi dan mudah dinilai.

4) Tulis iklan yang 'wajib klik'. Pastikan iklan anda menarik untuk diklik. Untuk membuat iklan yang tepat, berikut merupakan beberapa tips:
* Sertakan kata-kunci pada tajuk dan penerangan * Sertakan kelebihan utama produk * Terus ke perkara utama * Sertakan ayat panggilan seperti 'beli sekarang' atau 'daftar hari ini' * Arahkan pengguna ke laman web anda.

5) Dapatkan pengguna yang tepat dengan iklan yang betul. Sebaik sahaja anda mengenalpasti pelanggan berpotensi, sasarkan kempen berasingan untuk mendapatkan pelanggan anda. Untuk perniagaan global, adalah lebih baik menulis dan mensasarkan iklan mengikut lokasi tertentu. Gunakan bahasa berbeza untuk memperluaskan penerimaan iklan anda.

6) Jejaki pelanggan terakhir anda setelah kempen anda aktif, sentiasa ukur dan nilai hasilnya. Perhatikan statistik serta log web anda, dan gunakan perisian tambahan (biasanya diberi percuma) untuk mengukur pelbagai perkara tambahan seperti hasil yang perolehi sekarang. Lakukan perubahan pada strategi pengiklanan, dan ubah kesilapan serta-merta untuk mendapat hasil yang lebih baik

7) Uji. Sesuaikan. Berkembang. Sentiasa perhatikan apa yang anda tetapkan.Gunakan aplikasi percuma seperti Google Analytics untuk memahami pelanggan anda dengan lebih baik, serta produk dan perkhidmatan yang hangat dicari di dalam talian. Ia dapat membantu anda memahami minda pelanggan dan pengunjung yang hadir ke laman web anda. Jangan takut mencuba perkara baru.

No comments: