Saturday, November 17, 2012

Lebih banyak peluang pekerjaan untuk bumiputera

TENOM 16 Nov. - Penemuan dua lagi telaga minyak baharu yang terletak kira kira 100 kilometer dari timur laut Kota Kinabalu dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20121117/wb_02/Lebih-banyak-peluang-pekerjaan-untuk-bumiputera
Published: November 17, 2012


Antara aktiviti menarik melibatkan para pelajar dalam program Kembara
Kerja Petronas di Dewan SJK (C) Chung Hwa, Tenom, Sabah, kelmarin.


Exco Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, penemuan itu juga akan dapat membantu meningkatkan industri minyak dan gas di Sabah, sekali gus menerima pelbagai manfaat yang mampu menarik lebih ramai pelabur melabur ke negeri itu.

"Setakat ini hanya 20 peratus daripada 25,463 pekerja syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) merupakan bumiputera Sabah dan Sarawak. Kita yakin dengan penemuan dua telaga baharu minyak di negeri ini, kadar tersebut akan terus meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kembara Kerja Petronas di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Chung Hwa, Tenom di sini kelmarin.

Turut hadir Pengurus Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Roslan Ahmad Nordin dan Pegawai Pelajaran Daerah, Ajmal Jumah.

Program Kembara Kerja Petronas itu turut dihadiri kira-kira 200 pelajar SJKC Chung Hwa, Tenom.

Jamawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenom berkata, di samping menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, pembangunan hasil cari gali gas dan minyak Petronas tersebut telah mendorong anak muda termasuk pelajar menceburi bidang perindustrian.

Sehubungan itu, katanya, pelajar dan belia di negeri itu perlu merebut peluang berkenaan dengan mengambil kursus-kursus yang berkaitan industri petrolium.

"Selain itu, saya difahamkan Petronas sendiri menyediakan pusat latihan sendiri seperti yang terdapat di daerah Membakut bagi memberi latihan khas untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kepada pekerja tempatan," ujarnya.

Jamawi berkata, program tersebut merupakan pendekatan terbaik yang dilakukan oleh Petronas khusus dalam menyediakan informasi tentang peluang pekerjaan yang mereka tawarkan termasuk biasiswa pendidikan kepada pelajar cemerlang.

No comments: