KUANTAN 5 Nov. - Masyarakat India perlu merebut
peluang membangunkan perniagaan mereka dengan menggunakan dana yang
disediakan kerajaan melalui pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha
Niaga (TEKUN).
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121106/wp_04/Rebut-peluang-pinjaman-TEKUN
Published: November 06, 2012
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (gambar) berkata,
sebanyak RM50 juta disediakan untuk masyarakat India bagi membolehkan
kaum itu membuat pinjaman dalam memulakan aktiviti perniagaan.
"Peluang ini seharusnya direbut kerana merupakan usaha kerajaan bagi
memastikan semua kaum dapat menjana pendapatan masing-masing.
"Jika sebelum ini, pinjaman TEKUN hanya diberikan kepada orang
Melayu, namun sebagai bukti kerajaan prihatin terhadap semua kaum,
agensi itu dibuka untuk kaum India," katanya ketika berucap pada Majlis
Ramah Mesra Deepavali anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India
(DPPI) Kuantan, di sini semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua DPPI, S. Nagarajah; Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Pang Tsu Ming dan Naib Presiden Lynas
Malaysia Berhad (Lynas), Datuk Mashal Ahmad.
Pada majlis tersebut seramai 100 pelajar India yang cemerlang dalam
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah
(PMR) serta 100 warga emas menerima sumbangan masing-masing yang
disediakan oleh pihak Lynas.
Adnan berharap semua masyarakat India bersatu padu bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negara dapat dipertahankan.
"Jika semua masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat bersatu dan
mengamalkan toleransi, sudah pasti sebarang usaha memecah-belahkan
negara tidak dapat dilakukan.
"Justeru, menjadi keutamaan kepada semua, tanpa mengira agama dan
kaum bersatu dalam semua perkara. Seperti juga masyarakat India yang
terbahagi kepada pelbagai puak, jika tidak bersatu, akan mendatangkan
masalah," jelasnya.
Katanya, menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan semua kaum dapat
berkongsi segala kekayaan negara, terutamanya dalam bidang ekonomi.
No comments:
Post a Comment