Tuesday, December 4, 2012

Pengenalan Teknologi Baharu MPOB Sumbang Nilai Komersil Lebih Luas Kepada Industri PKS

IPOH, 3 Dis (Bernama) -- Pengenalan dan promosi teknologi baharu kelapa sawit melalui platform seminar serta pameran anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) setiap tahun dapat menyumbang nilai komersil yang lebih luas, terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkaitan komoditi itu.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=713616
Published: December 04, 2012

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Choo Yuen May berkata teknologi dan produk baharu serta perkhidmatan yang dipromosikan melalui platform seminar dan pameran turut menyumbang kepada keberkesanan operasi industri di sepanjang rantaian pengeluaran keseluruhan kelapa sawit.

"Usaha MPOB berjaya meningkatkan kadar teknologi komersil sehingga 30.7 peratus dengan 224 paten. Setakat ini MPOB mempamerkan dan menawarkan 527 teknologi dan 119 perkhidmatan berkaitan industri minyak sawit untuk dikomersilkan," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata demikian selepas perasmian seminar dan pameran pemindahan teknologi komoditi itu oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Katanya teknologi berkenaan juga dikaitkan antaranya dengan perladangan, bioteknologi tumbuhan, jentera ladang, ternakan serta tenaga hijau yang sesuai untuk dikomersilkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pelaburan modal kurang daripada RM25 juta.

-- BERNAMA

No comments: