Tuesday, December 18, 2012

Roselle melonjak ke era komersial

KEPALA BATAS 17 Dis. - Satu ketika dahulu, roselle atau nama saintifiknya hibiscus sabdariffa dianggap sebagai buah-buahan kampung dan tidak begitu popular bagi sesetengah orang.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121218/wu_01/Roselle-melonjak-ke-era-komersial
Published: December 18, 2012


JUS roselle yang dibotolkan ini sedia untuk diminum dan 
merupakan antara produk yang mendapat sambutan.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, roselle semakin dikenali sebagai sejenis tanaman tropika dan eksotik yang berpotensi tinggi dalam penghasilan makanan dan produk minuman kesihatan.

Menyedari roselle semakin dikenali, Zarina Abu Bakar, 29, yang merupakan lepasan Diploma Teknologi Makanan dari Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, mula menghasilkan jus roselle bagi tujuan komersial.

Berbekalkan modal sebanyak RM500, Zarina memulakan perniagaannya dengan menubuhkan Arina Food Enterprise yang terletak di Pantai Kamloon di sini pada 2009.

Menurutnya, pada awal pembabitannya dalam perniagaan produk minuman itu, dia hanya berniaga secara kecil-kecilan.

“Selepas tamat belajar saya pernah bekerja di sebuah syarikat yang menjalankan penyelidikan tentang tanaman herba termasuklah roselle.

“Dari situ saya melihat roselle sangat berpotensi bagi dikomersialkan kerana pada waktu itu juga sudah ada beberapa pengusaha yang menjual kordial roselle," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, ketika itu harga kordial roselle agak mahal dan dari situ dia mula mendapat idea untuk menjual kordial roselle pada harga lebih rendah.

Selepas perniagaannya menganjak ke usia tiga tahun, penerimaan dan permintaan pengguna terhadap kordial roselle keluaran syarikatnya semakin meningkat.

“Selepas tiga tahun, saya mula mencari idea bagaimana mahu menjadikan minuman roselle sebagai satu minuman popular sama seperti minuman lain yang laris di pasaran.

“Oleh itu, saya cuba membuat jus roselle supaya lebih mudah diminum dan tidak perlu dibancuh terlebih dahulu," ujarnya.

Ditanya sumber bekalan roselle, Zarina memberitahu, selain ditanam sendiri, dia turut memperoleh daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pengusaha tanaman roselle di kawasan sekitar.

Anak keempat daripada lima adik-beradik itu menjelaskan, dia gemar mendengar komen yang diberikan oleh pelanggan terhadap produk keluarannya kerana dari situ penambahbaikan dapat dilakukan.


ZARINA Abu Bakar menunjukkan cara yang betul untuk memetik 
roselle sebelum diproses untuk dijadikan kordial.

Pada mulanya, saya jual jus tersebut dalam bentuk botol, namun selepas itu saya mula memperkenalkan jus roselle dalam bentuk pek kecil yang lebih menarik dan sesuai untuk kanak-kanak.

“Syukur, jus dalam pek lebih mendapat sambutan dan menjadi salah satu produk yang melonjakkan jumlah keluaran di syarikat saya ketika ini," katanya.

Lebih membanggakan, produknya itu bukan sahaja laris di pasaran tempatan bahkan, sudah menembusi pasaran antarabangsa seperti Ireland selain turut mendapat permintaan untuk dieksport ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan China.

Bagi tujuan promosi, Zarina juga sering menyertai beberapa ekspo yang dianjurkan dalam negara.

Sebagai usahawan muda, dia sentiasa menimba pengalaman dan pengetahuan tentang selok belok perniagaan melalui penglibatannya dalam kursus dan seminar yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian, FAMA dan agensi-agensi lain.

Malah dia turut diundang untuk memberikan ceramah pada seminar kepada usahawan muda yang ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan.

“Saya tidak lokek berkongsi rahsia bersama-sama usahawan muda yang baru berjinak-jinak untuk berniaga.

“Apa yang selalu saya tekankan kepada mereka adalah jangan risau tentang modal kerana kebanyakan mereka beranggapan untuk memulakan perniagaan memerlukan modal yang besar," ujarnya.

Tambahnya, modal bukan isu kerana kesungguhan untuk berjaya itu lebih penting dan patut ada dalam diri setiap usahawan.

No comments: