Monday, December 17, 2012

PIZZA Pah Foods tingkat jualan RM1.5j

PIZZA Pah Foods Sdn Bhd (Pizza Pah), jenama piza keluaran Bumiputera menyasarkan jualan RM1.5 juta tahun depan disokong oleh penembusan pasaran produk pizza sejuk beku ke Iran dan Dubai tahun depan.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TingkatjualanRM1_5j/Article/index_html
Published: December 17, 2012

Pengarah Urusannya, Sharifah Rofiah Syed Hassan berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa rakan kongsi yang berpotensi untuk membantu memasarkan jenama Pizza Pah di negara masing-masing.

“Perniagaan Pizza Pah bermula 14 tahun lalu dengan operasi perniagaan lebih kepada kontrak pembuatan kepada pengusaha yang menggunakan jenama sendiri dengan jualan kami kini mencecah RM900,000 setahun.

“Namun begitu, kami bersedia memasuki pasaran antarabangsa dengan lebih luas apabila melabur RM400,000 bagi membeli mesin pengeluaran piza dari Itali dengan kapasiti pengeluaran 2,000 keping sejam,” katanya kepada Bisnes Metro di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia memasarkan produk mereka di pasar raya besar di seluruh negara yang dijangka bermula pada suku kedua 2013 kerana ketika ini, pemasaran dilakukan menerusi rangkaian 300 pengedar dan ejen di seluruh negara selain menerusi laman webnya, www.pizzapah.com.my.

“Selain itu, kami turut beroperasi di kafe yang terletak di Pusat Perhentian Kajang dan Kompleks PKNS, Bangi.

“Pizza Pah ditawarkan dengan lima ‘topping’ iaitu ayam, daging, tuna, makanan laut dan ayam ‘Hawaian’ dengan harga bermula dari RM9 hingga RM13 bergantung kepada saiznya,” katanya yang turut mempelawa lebih ramai usahawan untuk memasarkan produknya.

No comments: