TERENGGANU, 29 Dis (Bernama) -- Z'Tasty, jenama baharu produk makanan
laut di Terengganu, menyasarkan produknya mampu menembusi pasaran
antarabangsa tahun depan.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=918282
Published: December 30, 2012
Pengarah Pemasaran dan Jualan Sinku Food Industries Sdn Bhd Mohd
Hairiezan Rasli berkata produk jenama Z'Testy diperkenalkan di London
sempena festival makanan di sana tahun lepas.
"Dalam tempoh terdekat ini, Z'Testy akan memperluaskan pasaran hasil
laut Terengganu ke Eropah dengan bantuan Angkasa Food, anak syarikat
Angkatan Koperasi Malaysia Berhad," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata untuk itu, syarikat pengeluar keropok utama Terengganu
itu sedang berusaha mendapatkan sijil halal bagi merealisasikan matlamat
tersebut.
"Dari segi pengeluaran tidak ada masalah, kita mempunyai hasil
pengeluaran yang mencukupi .. sekarang kita cari pasaran untuk luar
negara," katanya.
Produk utama Z'Tasty setakat ini meliputi keropok, udang, isi ikan dan
ikan celup tepung, dan bakal mengeluarkan produk berasaskan hasil laut
tidak lama lagi.
Mohd Hairiezan berkata syarikat itu yang kini beroperasi di kawasan Hab
Halal Chendering Terengganu mampu mengeluarkan tiga hingga lima tan
metrik produk sehari.
Katanya Sinku Food Industries Sdn Bhd, milik usahawan Bumiputera,
mendapat bantuan peralatan seperti mesin keropok daripada Yayasan
Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Mardi serta Jabatan Perikanan.
Ia mula beroperasi pada 2005, dengan tapak kilang disewa daripada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
"Kita bercadang memiliki tapak sendiri pada masa akan datang jika ada rezeki," katanya.
Mohd Hairiezan berkata pada tahun depan, Z'Testy merancang membuka 30
kios Z'Testy di pusat membeli-belah di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka,
Johor dan Pulau Pinang, bagi memberi peluang kepada usahawan yang
berminat menceburi bidang perniagaan hasil laut.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment