SEREMBAN 24 Dis. - Konsep jualan harga patut sempena sesi persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi perlu diperluaskan ke semua pasar raya di negeri ini bagi memastikan beban ibu bapa ketika membeli barang keperluan anak dapat diringankan.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121225/ws_02/Perluas-konsep-jualan-harga-patut
Published: December 25, 2012
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, menerusi langkah ini sudah pasti menjimatkan belanja golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan inisiatif pasar raya dan peniaga yang turut menawarkan harga patut di premis masing-masing.
"Kita melihat ia sebagai satu petanda positif yang mana sudah ada inisiatif bagi pihak pengusaha pasar raya menawarkan harga patut untuk ibu bapa membeli kelengkapan anak mereka ke sekolah tidak lama lagi.
"Jika pengusaha dapat melakukannya, kita percaya orang ramai akan terus berbelanja di premis yang menawarkan harga patut," katanya.
Hasim berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Kembali ke Sekolah anjuran Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) negeri di Tesco Extra di Seremban Jaya di sini kelmarin.
Turut hadir Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Port Dickson, Yusof Bakar dan Pengurus Besar Stor Tesco Extra Seremban Jaya, R. Silvaraj.
Program Jualan Kembali ke Sekolah itu bermula 1 Disember lalu dan akan berakhir 31 Disember ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Hasim turut mengingatkan peniaga dan peruncit supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya pada musim perayaan Krismas ini.
"Walaupun tiada aduan kenaikan harga barang diterima setakat ini, tetapi ingatan tetap diberikan dalam memastikan tiada peruncit mahupun pemborong menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.
"Di samping itu, pengguna juga harus peka dan berhati-hati terhadap sebarang pembelian terutama hamper semasa musim perayaan agar tidak membeli produk yang sudah luput tarikh di dalam bungkusan hamper tersebut," katanya.
No comments:
Post a Comment