Sunday, December 30, 2012

Lahirkan lebih ramai usahawan - Risda

LANGKAWI 28 Dis. - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) merancang melahirkan lebih ramai usahawan getah terdiri daripada pekebun kecil sendiri di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad hari ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121229/ek_03/Lahirkan-lebih-ramai-usahawan
Published: December 30, 2012

Beliau berkata, inisiatif mendidik dan membimbing pekebun kecil untuk menjadi usahawan getah itu akan dapat meningkatkan lagi pendapatan dan memberikan peluang yang lebih luas dalam pelbagai bidang kepada mereka.

"Apabila mereka sudah menjadi usahawan getah, bukan sekadar mereka terlibat dengan jual beli getah tetapi juga akan menjadi pengusaha dengan mengambil kira kos yang efektif bagi menjana lebih banyak pendapatan.

"Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan kepada semua pekebun kecil agar menggunakan peruntukan RISDA yang diberikan dengan lebih berhemat dan cermat supaya mereka tidak perlu lagi menambah beban dengan meminjam wang di tempat lain ke arah menjayakan matlamat tersebut," katanya kepada wartawan setelah menghadiri Retreat Pengurusan RISDA 2012 di Langkawi Lagoon, Langkawi, di sini.

Wan Mohamad Zuki turut memberitahu, RISDA akan mengadakan Makmal Jihad Produktviti untuk meningkatkan lagi hasil produktiviti getah pekebun kecil bagi memastikan komuniti getah dapat bergerak seiringan dengan arus pembangunan negara.

"Produktiviti adalah satu elemen penting dan kita harus mempunyai langkah yang efektif bagi meningkatkannya dan mewujudkan beberapa fasa seperti fasa jangka pendek, sederhana dan panjang," tambahnya.

Majlis tersebut yang dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Ketua Pengarah RISDA, Sufi Alias dan Mohamat Muda, pengurusan tertinggi RISDA yang lain merangkumi pengarah bahagian dan pengarah RISDA negeri serta pegawai eksekutif syarikat milikan RISDA turut membincangkan pelbagai isu dan permasalahan yang dihadapi oleh agensi itu di setiap negeri.

No comments: