Monday, May 14, 2012

100 produk PKS masuk Shanghai

Source From (Harian metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/100produkPKSmasukShanghai/Article/index_html

Published: on 14 May 2012
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib di Shanghai, China
yusliza@hmetro.com.my

PROMOSI...Saripuddin (dua dari kiri) memasak makanan Malaysia yang dijual di Tesco Shanghai.
PROMOSI...Saripuddin (dua dari kiri) memasak 
makanan Malaysia yang dijual di Tesco Shanghai. 

SEBANYAK 100 jenis produk makanan dan minuman keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kini menembusi pasar raya besar Tesco di Shanghai, China menerusi program ‘Taste of Malaysia’ berikutan mendapat sambutan memberangsangkan sejak dilancarkan di Tesco Beijing, tahun lalu.
Menerusi program berkenaan, 40 jenis produk PKS dari Malaysia dibawa masuk, manakala 60 lagi akan menyusul secara berperingkat dalam tempoh tiga bulan di rangkaian pasar raya besar Tesco di negeri itu.

Antara jenama Malaysia melepasi tapisan ketat pihak berkuasa tempatan di China itu termasuk Hang Tuah, Agromas, Pertima, Madura Industries dan Nevgel membabitkan penyertaan 25 pengeluar tempatan.
Program ‘Taste of Malaysia’ anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu adalah yang ke-13 diadakan sejak ia diperkenalkan pada 2005.

Menerusi program berkenaan, 2,220 jenama produk PKS tempatan kini dijual di pasar raya besar beberapa bandar raya utama dunia iaitu Singapura, Jakarta, London, Paris, Hong Kong dan Dubai.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Saripuddin Kasim berkata, matlamat utama program itu adalah untuk meningkatkan tahap sokongan kerajaan dalam mempromosi dan memasarkan produk keluaran tempatan di pasar raya luar negara.

Katanya, tiga lagi program sedemikian akan diperkenalkan tahun ini iaitu di Tokyo, Hong Kong dan China.

“Malah, saya difahamkan kejayaan jenama Malaysia di Tesco Beijing amat ketara apabila produk PKS bertambah kepada 144 jenis berbanding 100 produk sejak dilancarkan tahun lalu.
“Manakala jualan produk PKS di Tesco berkenaan turut meningkat sebanyak 224 peratus dengan purata jualan bulanan kira-kira RM6,000 tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program itu di Tesco Dahua, Shanghai.

Hadir sama, Konsulat Malaysia ke Shanghai, Hendy Assan; Timbalan Presiden Eksekutif Rantau China Timur Tesco (China), Raymond Su dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Sunghwan Do.

No comments: