SANDAKAN 3 Dis. - Syaratnya amat mudah, sekadar menguasai 4M iaitu boleh 'membaca, menulis, mengira dan minat.'
Tanpa memerlukan sijil pendidikan yang tinggi, orang ramai boleh menyertai kursus yang disediakan oleh GiatMara terutama dalam bidang kecantikan dan kesihatan iaitu Program Solekan, Terapi Kecantikan dan Senireka Gaya Rambut yang disediakan oleh GiatMara Batu Sapi di sini.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20121204/wb_01/GiatMara-bantu-jana-ekonomi
Published: December 03, 2012
Para pelatih diajar dengan pelbagai teknik penjagaan kecantikan menerusi Program Solekan dan Terapi Kecantikan di GiatMara Batu Sapi, Sandakan, Sabah.
Tidak cukup dengan kursus kemahiran itu, para peserta juga akan diberikan pendedahan untuk menjadi seorang usahawan yang merupakan antara modul yang turut diajar di dalam pakej kursus yang diambil.
Maka tidak hairanlah kursus kemahiran berkenaan merupakan antara yang menjadi tumpuan penduduk setempat terutama golongan wanita di GiatMara Batu Sapi.
Umum mengetahui bidang kecantikan dan kesihatan suatu bidang yang menjanjikan pulangan lumayan kepada sesiapa sahaja yang menceburi bidang perniagaan itu, sekali gus mampu mengubah taraf pendapatan keluarga masing-masing.
Terletak di Jalan Leila dalam Kawasan Parlimen Batu Sapi, GiatMara tersebut adalah institusi kemahiran yang cukup sinonim dengan masyarakat setempat kerana kedudukannya berhampiran dengan bandar-bandar seperti Sandakan, Beluran, Libaran dan Kinabatangan.
Pengurus pusat ini, Hashim Saad berkata, antara objektif utamanya ialah memberikan latihan kemahiran kepada masyarakat akar umbi, seterusnya melahirkan kumpulan modal insan berjaya.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa mendekati masyarakat setempat kerana pusat ini berperanan membantu mana-mana pihak yang berminat untuk memiliki kemahiran.
"Mereka yang mengikuti kursus-kursus di pusat ini akan memperoleh sijil kemahiran dan bakal melayakkan mereka mencipta satu kejayaan dalam hidup apabila menceburi bidang perniagaan kelak. Inisiatif ini akan merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi masyarakat setempat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambah Hashim, pusat berkenaan menawarkan dua kursus kecantikan dalam tempoh enam bulan dan kami melatih mereka yang berminat tanpa mengira usia dan tahap akademik mereka.
"Asal mereka faham 4M maka mereka boleh mengikuti kursus di pusat ini. Kami juga menggalakkan agar lebih ramai golongan di kawasan Parlimen ini dan sekitarnya yang berminat untuk menyertai kursus yang kami sediakan setiap masa," katanya.
Dalam perkembangan sama, Hashim berkata, selain kursus tempoh enam bulan, pusat itu juga menyediakan kursus hujung minggu dan kursus jangka pendek di bawah program Latihan 1Malaysia.
"Kursus-kursus yang ditawarkan di setiap GiatMara adalah berbeza antara satu sama lain kerana ia mengikut kehendak masyarakat setempat. Contohnya di Sandakan menawarkan kursus Pendawaian Elektrik Domestik, Pembuatan Pakaian Lelaki/Wanita; Libaran (Kursus Pereka Grafik, Pengiklanan dan Penyaman Udara); Kinabatangan (Kursus Pendawaian Elektrik dan Jahitan Pakaian) dan Beluran (Mekanik Kenderaan Motor)," katanya.
No comments:
Post a Comment