PUTRAJAYA, 10 Dis (Bernama) -- Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju)
dan RHB Islamic Bank Bhd akan bekerjasama untuk menyediakan pembiayaan
berjumlah hingga RM520 juta di bawah Dana Teras Fund bagi
syarikat-syarikat Bumiputera.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=715206
Published: December 11, 2012
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20121211/ko_01/Dana-untuk-bumiputera
Published: December 11, 2012
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata
250 syarikat telah menerima pembiayaan setakat ini, termasuk 150
syarikat di bawah kerjasama awal Teraju dengan SME Bank.
"Lebih RM1 bilion telah dikreditkan dalam dana Teras bagi faedah
syarikat," katanya kepada Bernama selepas upacara menandatangani satu
memorandum persefahaman antara Teraju dan RHB Islamic Bank yang
disaksikan oleh Nor Mohamed, yang juga Pengerusi Teraju.
Di bawah Dana Teras berjumlah RM520 juta itu, RM160 juta telah
diperuntukkan sebagai modal kerja manakala RM360 juta selebihnya akan
digunakan bagi pembelian aset komersial.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Husni Salleh, berharap
perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera akan merebut peluang
daripada dana pembelian aset komersial ini untuk membeli premis sendiri.
"Ini juga akan meningkatkan pemilikan harta di kalangan Bumiputera," katanya.
Pengarah Urusan RHB Islamic Bank, Abd Rani Lebai Jaafar, berkata dana
itu menawarkan kadar pembiayaan yang sangat berdaya saing dan dua
peratus rebat keuntungan yang diperluaskan di bawah Skim Pembiayaan PKS
Patuh Syariah.
Selain kemudahan pembiayaan, katanya, RHB Islamic akan juga menyediakan
perundingan bagi PKS Bumiputera dalam mengembangkan perniagaan mereka.
Dana Teras bertujuan mengenal pasti syarikat Bumiputera berprestasi
tinggi dengan potensi pertumbuhan yang baik dalam lima tahun akan datang
dan membantu mereka berkembang ke pasaran-pasaran luar negara, melalui
akses kepada peluang-peluang perniagaan berasaskan merit.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment