Monday, December 24, 2012

DPIM kumpul 5,000 usahawan

BACHOK 22 Dis. - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Kelantan akan mengumpulkan lebih 5,000 usahawan kecil di negeri ini pada awal Februari tahun depan sebagai strategi awal ke arah meningkatkan produktiviti dan penghasilan keperluan bagi memenuhi pasaran serta permintaan pengguna domestik.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121223/wt_01/DPIM-kumpul-5000-usahawan
Published: December 24, 2012


Ilias Husain mendapatkan maklumat tertentu daripada 
pekebun kecil getah di Bachok, Kelantan, semalam.

Pengerusinya, Datuk Dr. Ilias Husain berkata, setakat ini Kelantan hanya berupaya membangunkan sektor peruncitan dan kepenggunaan, tetapi masih lemah dalam pengeluaran industri sama ada membabitkan pengeluaran makanan atau hasil pertanian dalam skala yang lebih besar.

Beliau berkata, perubahan perlu dilakukan bagi mencapai matlamat berkenaan agar barangan jualan yang dipasarkan kepada pengguna tempatan tidak diimport tetapi dihasilkan sendiri menerusi pelbagai projek pertanian komersial serta industri kecil dan sederhana (IKS) yang aktif.

"Hasil tinjauan DPIM mendapati pergantungan terhadap sayur dari negara jiran masih berterusan sedangkan Kelantan memiliki banyak tanah terbiar yang boleh diusahakan. IKS pula seharusnya produktif mengeluarkan barangan dengan meletak sasaran untuk dieksport selain memenuhi permintaan setempat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sarapan Kasihi Pekebun Kecil Peringkat Projek RISDA Jajahan Bachok di Kampung Permatang Pasir di sini hari ini. Yang turut hadir Pengurus RISDA kawasan Bachok, Fauzi Harun.

Ilias berkata, penternakan secara kecil-kecilan seperti memelihara ayam kampung dan itik juga perlu diperbesarkan bagi menampung keperluan yang semakin meningkat.

Sementara itu, Fauzi berkata, orang ramai yang memiliki tanah terbiar termasuk bekas penanam tembakau boleh memohon bantuan pengurusan penanaman menerusi Program Tanam Baru Komoditi (PTBK) getah menerusi RISDA mulai sekarang.

Menerusi PTBK, katanya, daerah ini diperuntukkan kuota keluasan tanaman baru getah sebanyak 69 hektar dengan kadar bantuan sebanyak RM9,230 per hektar selain bimbingan dan bantuan kepakaran oleh pegawai RISDA setempat.

No comments: