KUALA LUMPUR 24 Dis. - MYNIC Berhad sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan untuk melahirkan 10,000 usahawan dalam kalangan siswazah yang berniaga secara dalam talian melalui program baru syarikat itu, Ebiz1Malaysia.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20121225/ko_01/MYNIC-lahirkan-10000-usahawan-siswazah
Published: December 25, 2012
Ebiz1Malaysia akan menyediakan platform percuma bagi peniaga untuk memasarkan produk jualan mereka di sebuah portal yang disediakan khas.
Ketua Pegawai Operasi Ebiz1Malaysia, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman berkata, "Inisiatif ini sebenarnya terbuka kepada semua golongan masyarakat untuk berniaga secara online. Namun, kami memberi penekanan khusus kepada golongan siswazah bagi melahirkan lebih ramai usahawan di masa depan."
Bagi merealisasikan impian itu, Mynic dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dijangka akan mengadakan siri jelajah bagi melantik dan melatih 2,000 siswazah yang akan dilantik sebagai Duta Ebiz1Malaysia.
Duta yang dilatih itu akan mendidik pula rakan-rakan mereka mengenai kelebihan menggunakan portal itu untuk menjana pendapatan secara sampingan.
"10,000 usahawan siswazah online ini juga akan dibekalkan 'kit usahawan' berupa modul pembelajaran, DVD teknik membuka kedai online serta t-shirt ebiz1Malaysia untuk mempromosikan portal ini," kata Shahabudeen Jalil lagi.
Program ini dijangka akan dilancarkan pada Januari ini dan akan bergerak sepenuhnya pada Mac tahun depan.
Katanya, modul perniagaan seperti ini telah menempa kejayaan di negara-negara lain seperti di Eropah dan di China.
"Di negara kita, peratusan jual-beli dalam Internet masih lagi rendah walaupun kadar penembusan internet agak tinggi berbanding negara lain di dunia," katanya.
Melalui program ini Mynic mengharapkan lebih ramai rakyat Malaysia di kalangan peniaga kecil, suri rumah dan siswazah yang akan menceburkan diri dalam perniagaan penjualan barangan melalui Internet.
Selain itu, program Ebiz1Malaysia juga menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah serta mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia.
No comments:
Post a Comment