RAUB 9 Dis. - Para ibu Tunggal disaran mengikuti pelbagai latihan kemahiran yang disediakan di Pusat GiatMara yang sesuai dipelajari oleh golongan terbabit dan membantu mereka menjadi usahawan kecil-kecilan.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121210/wp_03/Ibu-tunggal-disaran-ikuti-latihan-kemahiran
Published: December 10, 2012
Pengerusinya, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, antara kursus ditawarkan seperti anyaman, membuat kuih, dandanan, solekan, jahitan, kek dan pastri dan sebagainya.
Tambahnya, banyak ibu tunggal yang kini telah berjaya apabila membesarkan perniagaan masing-masing menerusi modal dibiayai pelbagai agensi seperti Tabung Ekonomi Kemajuan Usahawan Nasional (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
"Mereka boleh memilih mana-mana bidang diminati dengan kursus diadakan dalam jangka masa tiga bulan hingga setahun bergantung kepada bidang yang mereka pilih.
"Mereka yang mengikuti kursus itu pula akan diberikan elaun sebanyak RM200 setiap bulan selama mengikuti kursus tersebut dan diberi sijil yang mana sijil tersebut mendapat pengiktirafan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada 778 ibu tunggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong di Dataran Dong, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, selain menjadi usahawan secara kecil-kecilan, mereka juga boleh memohon bekerja dengan agensi berkaitan seperti kerajaan atau swasta.
Tambahnya, ramai kalangan ibu tunggal yang mengikuti kursus di pusat latihan itu mampu berdikari menjalankan perniagaan dengan memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.
"Mereka (ibu tunggal) yang menjalankan perniagaan katering sudah menjadi senang dan turut membuka restoran serta kedai membuat kek.
"Banyak peluang boleh diceburi ibu tunggal dan terpulang kepada mereka untuk menentu hala tuju serta jaminan masa depan mereka," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment