Saturday, December 22, 2012

Mara Tambah Baik Program Kemahiran, Keusahawanan Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menambah baik dan memperkasa modul latihan serta program kemahiran dan keusahawanan di institusi pendidikannya tahun hadapan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=916986
Published: December 22, 2012

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/mara-tambah-baik-program-kemahiran-keusahawanan-tahun-depan-1.114466
Published: December 22, 2012

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara, Datuk Abdul Rahim Abdul Ghani berkata pihakanya akan memastikan kursus ditawarkan mempunyai nilai pasaran yang mampu memenuhi keperluan industri.
  
"Mara menyumbang 27 peratus modal insan dalam negara dengan kira-kira 35,000 pelatih keluaran kolej termasuk pusat kemahiran di bawah Mara setiap tahun.
  
"Kita berhasrat meningkatkan kapasiti sekiranya kelengkapan di kolej-kolej dapat ditambah baik dan lebih lengkap selari dengan keperluan masa kini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis apresiasi Kontinjen Mara sempena Pertandingan Kemahiran Asean 2012, di sini hari ini.
  
Dalam pertandingan di Jakarta dari 13 hingga 20 November lepas, Malaysia meraih tiga pingat emas, empat perak dan empat gangsa selain tujuh medal kecemerlangan menerusi hasil 22 bidang kemahiran yang dipertandingkan.

Sumbangan institusi pendidikan Mara ialah memenangi perak menerusi reka bentuk kejuruteraan mekanikal, dua gangsa masing-masing daripada rekaan fesyen dan kimpalan dan lima medal cemerlang dalam pelbagai bidang.
  
Lima wakil Mara sebagai peserta Malaysia terpilih ke Pertandingan Kemahiran Dunia dari 1 hingga 7 Julai depan di Leipzig, Jerman.
  
"Kita menggalakkan pelajar menyertai pelbagai pertandingan supaya mereka bukan sahaja cemerlang di bidang akademik tetapi juga kemahiran, malah mempunyai jati diri selain berdisiplin, berani dan berdaya saing," kata Abdul Rahim.
  
Beliau berkata semakin banyak syarikat besar kini mengikat perjanjian dengan institusi dan pusat kemahiran untuk dibekalkan dengan tenaga kerja terlatih di bidang kemahiran bagi memenuhi permintaan industri.
  
Pada majlis itu, Mara bertukar-tukar memorandum persefahaman (MoU) dengan lima pihak industri fesyen, perabot, percetakan dan kimpalan besi bagi menempatkan pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Institut Kemahiran Mara menjalani latihan industri. - Bernama

No comments: