Thursday, October 11, 2012

KR1M cetus fenomena

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KR1Mcetusfenomena/Article/index_html

Published: October 11, 2012
Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

PENUBUHAN Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) adalah satu usaha kerajaan terus membela kebajikan dan nasib rakyat yang dikategorikan dalam golongan berpendapatan rendah di negara ini.
Sehingga kini, sebanyak 53 KR1M dibuka dan beroperasi di seluruh negara dan angka ini dijangka bertambah kepada 85 buah menjelang akhir tahun ini.

Statistik hasil jualan yang mencecah lebih RM20,000 sehari di KR1M di seluruh negara memberikan satu justifikasi yang kukuh dan menunjukkan penambahan dan penubuhan lebih banyak kedai seperti ini menjadi satu keperluan.
Justeru tidak hairanlah apabila dalam pembentangan Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan tambahan 57 KR1M terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Rakyat yang mula menyedari kelebihan dan keistimewaan KR1M dilhat semakin ‘berselera’ membeli-belah di kedai ini terutamanya mendapatkan barang keperluan asas yang secara relatifnya lebih murah berbanding di pasar raya besar lain.

Malah, dalam hal ini bukan saja soal harga memainkan peranan yang penting untuk menarik minat rakyat untuk berbelanja di KR1M tetapi kualiti barangan yang dijual juga ternyata baik dan tidak mengecewakan.
Ternyata penubuhan KR1M menjadi satu transformasi yang unik yang mencetuskan fenomena baru dalam masyarakat kita.

Menurut Najib yang mengilhamkan penubuhuhan KR1M ini, pembinaan KR1M bukanlah sesuatu yang diuar-uarkan tanpa asas tetapi adalah satu realiti dan telah terbukti berjaya kerana menawarkan barangan keperluan utama pada harga 40 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
Tambah Najib, sekarang ini ke mana saja saya pergi, orang ramai akan minta di kawasan mereka dibina kedai KR1M.

Ini membuktikan betapa kedai ini mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada rakyat di seluruh negara.

Rata-rata pengguna yang ditemu bual dan berpeluang membeli-belah di kedai terbabit pula menzahirkan ucapan penghargaan, terima kasih dan tahniah kepada penubuhan kedai itu.

Malah, ramai yang mencadangkan agar kedai ini bukan sahaja diperluaskan kepelbagaiannya agar boleh menyediakan lebih banyak lagi pilihan barang tetapi kedai serbaneka itu dibuka di seluruh negara terutamanya di kawasan luar bandar.

Ini mampu mempertingkatkan kebajikan masyarakat luar bandar yang rata-rata memiliki pendapatan yang rendah dan kurang berkemampuan di samping memberi fokus kepada golongan miskin bandar.

Cadangan ini wajar diperhalusi dan diberi perhatian yang serius oleh pihak kerajaan agar nasib semua lapisan rakyat terbela dengan seadilnya serta penubuhan KR1M ini mencapai objektif dan menemui kumpulan sasarannya.

Malah, kita percaya penubuhan lebih banyak kedai seperti ini akan mendatangkan pelbagai kesan dan manfaat sampingan yang baik kepada rakyat.

Misalnya penubuhan kedai ini pastinya akan menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Di samping itu, konsep kedai ini juga boleh membantu melahirkan lebih ramai usahawan francais berjaya di seluruh negara.

Ini pastinya membantu menambahkan pendapatan rakyat kita di samping mengurangkan kadar pengangguran negara.

Dalam pada itu, kita juga mencadangkan agar kerajaan mempelopori konsep serampang dua mata melalui kedai ini di mana gunakan peluang ini sepenuhnya untuk terus menyuburkan kempen beli barangan buatan tempatan.

Rakyat akan membeli barangan keluaran tempatan jika kita menjual pada harga yang berpatutan tanpa bertolak ansur dan berkompromi dalam aspek kualiti.

Ringkasnya, kedai ini juga wajar digunakan sebagai wadah dan platform terbaik untuk mempromosikan barangan buatan tempatan.

Hal ini penting kerana ia mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara kita secara keseluruhannya.

Kita juga perlu sentiasa ingat bahawa dalam kita berusaha untuk menjual barangan di kedai ini dengan harga yang rendah kita tidak boleh sama sekali berkompromi dalam soal kualiti barangan yang dijual.

Tiada gunanya kita menjual barangan pada harga yang jauh lebih rendah tetapi mutu dan kualiti barangan tersebut cukup mengecewakan atau meragukan.

Pada masa yang sama kita juga menyeru agar lebih banyak lagi syarikat atau pasar raya swasta akan menuruti jejak langkah pasar raya Mydin untuk membantu membuka lebih banyak lagi kedai seperti ini di seluruh negara.

Ia akan menyediakan lebih banyak pilihan kepada rakyat. Anggaplah ini sebagai program tanggungjawab sosial korporat syarikat masing-masing kepada rakyat dengan menyumbang kembali kepada pembangunan kebajikan rakyat.

Soal keuntungan tidak boleh menjadi agenda utama dalam isu seperti ini. Kita percaya dalam hal seperti ini kerajaan sangat mengharapkan sumbangan dan kerjasama swasta dan kedai ini adalah satu lagi bukti kejayaan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

Ia bakal menjadi satu lagi lambang kejayaan strategi laut biru yang sedang dipelopori kerajaan.

Ringkasnya, usaha untuk menjaga dan mempertingkatkan kebajikan rakyat terus menjadi agenda utama pihak kerajaan.

Buktinya kita boleh menyaksikan pelbagai inisiatif berorientasikan rakyat diperkenalkan oleh pihak kerajaan secara konsisten termasuklah pemberian pusingan kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) serta bantuan persekolahan RM100.

Komitmen dan kesungguhan Najib serta kerajaan pimpinannnya membantu golongan berpendapatan rendah cukup terserlah.

Apa yang dapat dilihat ialah kebajikan dan kesejahteraan rakyat telah menjadi agenda perjuangan utama Najib sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Ini dapat disaksikan secara jelas melalui usaha meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pelbagai program peningkatan pendapatan serta langkah-langkah terperinci yang diambil melalui pelbagi program transformasi seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang dilihat menjadi antara matlamat dan objektif utama kerajaan mutakhir ini.

Semoga kerajaan akan terus memperkenalkan lebih banyak lagi inisiatif baru seperti ini untuk terus membela nasib dan menjaga kebajikan rakyat atas konsep kerajaan berorientasikan rakyat dan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Pada masa yang sama rakyat juga wajar bersyukur dan berterima kasih kerana mempunyai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan sentiasa mendahulukan rakyat.

Penulis percaya semua usaha ini mampu menzahirkan impian kita untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 yang sekali gus diyakini mampu merapatkan jurang perbezaan pendapatan di kalangan rakyat negara ini.

Penulis ialah Ketua Bahagian Perancangan Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

No comments: