KUALA TERENGGANU 27 Dis. - Lima tahun lalu, Muhd. Ramzi Abdullah, 30, melepaskan jawatan tetap sebagai jurutera di Cyberjaya ketika baru memulakan kehidupan bekerjaya kerana nekad terjun ke dalam bidang yang akhirnya dirasakan lebih dekat dengannya.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121228/wt_01/Pengorbanan-Razmi-berbaloi
Published: December 30, 2012
Ramzi (kanan) menemani Pengarah Lembaga Pertubuhan
Peladang Negeri, Shamsuddin Mat (kiri) melepaskan ikan
ke dalam kolam pancingnya di Kampung Panji, Kuala
Terengganu, baru-baru ini.
Biarpun menerima tawaran menjadi pensyarah dan rakan-rakan merasakan beliau membuat keputusan yang silap selepas bertahun-tahun menghabiskan masa di universiti, Muhd. Ramzi yang berasal dari Kampung Durian Burung di sini, meneruskan juga dengan sokongan keluarga.
Selepas melepaskan jawatan tetap pada 2007, dia terus mengikuti kursus-kursus pendek dalam bidang akuakultur anjuran Jabatan Perikanan Terengganu.
Beliau juga membuka kolam pancing secara kecil-kecilan dengan modal sekitar RM5,000 disusuli dengan projek pembenihan ikan yang bermula dengan kerugian.
"Pada awal menjalankan perusahaan ini, memang berdepan dengan masalah. Saya mengalami kerugian sehingga RM20,000 dalam satu masa kerana kematian benih dan ikan akibat terputus bekalan elektrik.
"Bagaimanapun, keluarga tetap menyokong kerana melihat kegigihan saya selain saya sendiri merasakan ini pilihan tepat kerana lebih gembar corak kerja sendiri, bebas dalam tindakan dan keputusan yang diambil," ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Kini, selepas lima tahun, apa yang diusahakannya mendapat perhatian dan dianggap salah satu contoh kejayaan dalam kalangan siswazah di negara ini apabila menerima Anugerah Siswazah Pertanian dan Asas Tani Jaya sempena Hari Peladang Penternak Kebangsaan pada bulan lepas.
Anugerah itu bersandarkan kemampuannya memiliki dua kolam ternakan dan pembenihan di Ajil, Hulu Terengganu dan sebuah kolam pancing di Kampung Panji di sini, yang beroperasi dengan 15 pekerja dengan pendapatan sehingga lebih RM1 juta setahun.
Muhd. Ramzi yang ditemui dalam majlis kesyukuran di kolam pancingnya baru-baru ini memberitahu, anugerah itu memberi galakan kepadanya untuk terus mengembangkan perusahaan pada tahap yang dianggap lebih membanggakan.
"Minat dalam perniagaan bercambah semasa belajar. Tetapi jika menceburi bidang perniagaan berasaskan apa yang dipelajari di universiti, bidang kejuruteraan mungkin perlu modal besar, mengambil masa dan perlu menimba pengalaman lebih luas.
"Saya melihat potensi besar dalam bidang perikanan kerana pasaran yang luas dan berterusan, apatah lagi saya rasa seronok kerana saya juga gemar memancing.
"Pengalaman belajar dan bekerja digunakan terutama yang melibatkan teknologi," katanya.
Menurut Muhd. Ramzi, bagi mengembangkan usahanya, dia juga mendapat modal pinjaman daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri berjumlah RM50,000, Agrobank (RM50,000) dan pinjaman peribadi sebanyak (RM400,000) bagi menyediakan fasiliti di ketiga-tiga kolam tersebut.
Katanya, melalui projek pembenihan yang diusahakan dia turut membekalkan 50 tan metrik benih ikan setahun termasuk patin, baung, tilapia dan keli para penternak ikan air tawar di negeri ini.
Beliau menambah, dia turut membuka kolam pancing yang beroperasi setiap hari bermula 9 pagi hingga 11 malam dan dibuka 24 jam pada hujung minggu dengan kadar bayaran untuk satu pancing sebanyak RM20 bagi setiap tiga jam.
No comments:
Post a Comment