Friday, November 2, 2012

Strategi Francais Bantu PKS Ke Tahap Antarabangsa Dengan Lebih Pantas, Kata Menteri Singapura

SINGAPURA, 1 Nov (Bernama) -- Francaisi sebagai satu strategi jelas sekali dapat membantu banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang ke peringkat antarabangsa dengan lebih pantas, kata Menteri Kanan Negara, Kementerian Perdagangan dan Industri dan Kementerian Pembangunan Nasional, Lee Yi Shyan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=706252
Published: November 02, 2012

"Jualan dan skala operasi yang berkembang akan menyediakan sumber untuk pembangunan produk, automasi dan pengeluaran secara besar-besaran.

"Francaisi boleh membantu PKS memasuki kitaran pertumbuhan yang menguntungkan dan meningkatkan keupayaan pertubuhan," kata beliau ketika merasmikan Francaisi dan Pelesenan Asia 2012 (FLAsia), iaitu acara tiga hari yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands di sini pada Khamis.

Lee berkata yang di Singapura, industri francaisi dan pelesenan telah berkembang pesat sejak beberapa tahun ini.

Pada 2011, beliau berkata: "Industri francaisi tempatan kita menguasai 18 peratus daripada jumlah jualan domestik dan runcit.

"Sektor yang pelbagai ini mempunyai lebih daripada 500 sistem francais pada masa ini, dengan lebih 37,000 francaisi beroperasi dengan jumlah dagangan tahunan melebihi S$6 bilion. Kami menjangkakan sektor ini akan meneruskan momentum pertumbuhannya," kata beliau.

Beliau berkata terdapat banyak contoh yang menunjukkan syarikat-syarikat Singapura berjaya dan berkembang maju di luar negara menerusi francaisi.

Antaranya ialah label kasut dan aksesori wanita, Charles & Keith, katanya.

Nama-nama terkemuka lain syarikat Singapura yang berjaya diantarabangsakan dengan mengguna pakai gabungan pertumbuhan organik dan strategi francais termasuklah BreadTalk, OSIM, Fish & Co, SkinC, Kenko Foot Reflexology and Spas, Mr Bean, Muthu's Curry dan Udders.

-- BERNAMA

No comments: