Wednesday, August 22, 2012

GMBO bantu usahawan PKS

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Program Get Malaysian Business Online (GMBO) yang diperkenalkan oleh Google Malaysia November lalu telah membantu 23,000 pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara dalam meningkatkan hasil pendapatan perniagaan masing-masing.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120822/ek_04/GMBO-bantu-usahawan-PKS
Published: August 22, 2012


USAHAWAN PKS boleh memanfaatkan penggunaan GMBO 
untuk meningkatkan hasil pendapatan. - GAMBAR HIASAN

Program ini membantu usahawan untuk memperkenalkan produk mereka melalui laman sesawang dan memulakan perniagaan dalam talian masing-masing.

Pegawai Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof berkata, program ini membuka peluang kepada PKS untuk terus berkembang maju dan membantu pelanggan mendapatkan informasi dengan lebih pantas.

"Jumlah tersebut akan terus meningkat dan mencapai sasaran 50,000 PKS menjelang hujung tahun ini.
"Justeru, kita mahu semua usahawan mengambil peluang untuk memasarkan produk mereka melalui program ini kerana ia sangat kos efektif dan maklumat yang di siarkan dalam laman tersebut sangat meluas," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

GMBO merupakan jalinan kerjasama antara Google Malaysia dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), badan alamat laman sesawang, .my Domain Registry dan pusat latihan ITrain (M) Sdn. Bhd. (ITrain) bertujuan membantu pengusaha PKS di negara ini membawa perniagaan mereka ke dalam dunia Internet.

GMBO menawarkan peserta laman sesawang, nama domain dan hosting percuma selama setahun untuk 10,000 PKS pertama yang mendaftar, manakala peserta seterusnya hanya membayar RM23 berbanding RM80 bagi kos biasa yang dikenakan.

Selepas 12 bulan, yuran pembaharuan tahunan bagi mengekalkan nama domain perniagaan pula hanya sebanyak RM23 setahun bagi setiap peserta.

Sementara itu, seorang pengguna GMBO, Hajarinawati Othman berpuas hati kerana dengan adanya laman sesawang sendiri produk yang dipasarkannya kini mendapat promosi lebih meluas melalui Internet.
Beliau memasarkan produk dari Sarawak antaranya kek lapis, ikan terubuk masin, ekstrak mee kolok dan kuih sepit.

"Perniagaan semakin berkembang sehingga menerima tempahan bukan sahaja di pasaran tempatan malah di luar negara melalui laman web www.kedaiummie.com.my.

"Saya juga menggalakkan usahawan untuk memasarkan barangan mereka melalui program ini, sekali gus menjana pendapatan berlipat kali ganda," jelasnya.

No comments: