Sunday, July 7, 2013

Mosti Bantu Nurkasih Tingkat Pendapatan Kepada RM10,000 Sebulan Daripada RM850 Sebulan Keluar "Tuhau"

RANAU, 7 Jun (Bernama) -- Jika dahulu, pendapatan Nurkasih Enterprise hanya RM850 sebulan kerana menggunakan kaedah pengeluaran tradisional mengeluarkan "tuhau," sejenis makanan tradisi kaum Kasdazandusun-murut di negeri Sabah, kini pendapatannya meningkat kepada purata RM10,000 sebulan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=961556
Published: July 07, 2013

Pemilik Nurkasih Enterprise Wasihah @ Resiminah Kuntagil berkata pencapaian itu adalah hasil bantuan Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM), satu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Katanya bantuan TPM MOSTI telah menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan pengeluaran "tuhau", sejenis sayur yang dijeruk, melalui inisiatif pembangunan pengeluaran dan kaedah pemprosesan inovatif.

Teknologi inovatif ini telah dibiayai di bawah geran pembangunan projek MOSTI dan dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Bioteknologi di kementerian tersebut.

Nurkasih Enterprise yang terletak di Kampung Marakau, Ranau, adalah syarikat pertama yang menggunakan inovasi pengeluaran tuhau besar-besaran untuk dikomersialkan ke pasaran domestik dan antarabangsa.

Keseluruhan teknologi pemprosesan dan pengeluaran yang melibatkan pembersihan dan mengupas, parutan, menggoreng dan pengeringan sehingga kepada memasak, mencampur jeruk dan pembungkusan akhir diilhamkan dan dibangunkan oleh TPM sejak September 2011.

"Saya gembira dan berterima kasih kepada MOSTI dan TPM untuk bantuan mereka dalam membangunkan pemprosesan dan kaedah pengeluaran inovatif ini yang telah menyumbang kepada kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi."

"Saya yakin inovasi baru ini akan menyediakan peluang baru bagi usahawan tempatan Sabah yang berminat untuk memanfaatkan potensi perniagaan yang tuhau tawarkan pada skala yang lebih luas," katanya kepada Bernama hari ini.

Nurkasih Enterprise adalah antara peserta di pameran "Karnival Kreativiti dan Sains 4U" di bawah naungan gerai TPM.

Pameran itu menarik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin datang sendiri bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang inovasi ke arah meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar dan usahawan luar bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif TPM Datuk Azman Shahidin berkata beliau berbangga kerana pihaknya telah dapat membantu memenuhi impian ramai usahawan.

"TPM, sebagai agensi utama bagi teknologi dan inovasi, sentiasa mengalu-alukan idea-idea baru yang mempunyai potensi pengkomersilan. Oleh itu, adalah menjadi harapan kami agar rakyat Sabah akan memanfaatkan kepakaran dan perkhidmatan kami untuk membangunkan produk baru berasaskan teknologi dari ICT, bioteknologi dan sains hayat, kejuruteraan maju dan teknologi hijau," kata Azman.

Satu lagi usahawan Sabah mencapai kejayaan hasil bantuan TPM ialah Faridun Nisa Zardad Khan dari Sulaman, Kota Kinabalu.

Syarikatnya, Nusayba telah dibantu TPM Biotech Sdn Bhd untuk mengeluarkan minuman coklat dan teh herba di bawah jenama Pintar Kids dan Teh Misai Kuching.

Pengeluaran minuman coklat Pintar Kids yang pertama bermula pada bulan Mei 2012 dengan 20,000 paket kini telah berganda kepada 40,000 paket pada bulan Februari 2013.

Melalui kajian saintifik yang aktif dan inisiatif pembangunan bioteknologi, komponen aktif herba kini boleh dikenal pasti dan diekstrak dan kini boleh digunakan sebagai bahan untuk makanan dan minuman ke arah meningkatkan kesihatan dan gaya hidup manusia.

TPM mempunyai infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan untuk membantu usahawan yang berminat untuk mengkomersialkan idea bioteknologi mereka terutamanya dalam sektor buah-buahan dan herba.

Ia menumpukan kepada empat kelompok industri, iaitu, ICT, Bioteknologi dan Sains Hayat, Kejuruteraan Lanjutan dan Perkhidmatan Inovasi dan Inkubasi.

Kemudahan di anak syarikat TPM, TPM Biotech, diiktiraf memiliki status Amalan Pengilangan Baik (GMP) yang diberikan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan Kesihatan pada 2006.

TPM Biotech telah memperolehi akreditasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan pensijilan ISO9001:2008 dan IEC 17025 serta disahkan halal oleh JAKIM.

Selain itu, ia mempunyai HACCP. Semua akreditasi dan pensijilan serta kapasiti pengeluaran komersil yang besar menjadikan TPM Biotech sebagai pilihan utama bagi produk dan perkhidmatan usahawan.

-- BERNAMA 

No comments: