Wednesday, January 23, 2013

Sinku Food Berhasrat Pasarkan Keropok Sejuk Beku Ke Pasaran Global

KUALA TERENGGANU, 22 Jan (Bernama) -- Sinku Food Industries Sdn Bhd (SFISB), pengeluar makanan berasaskan ikan seperti keropok lekor sejuk beku, kini merancang menembusi pasaran global di London, United Kingdom dan Perth, Australia.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=923524
Published: January 23, 2013

Pengarah Urusannya, Zalehah Mohamad berkata, buat masa ini, syarikatnya sedang menunggu sijil kebenaran untuk memasarkan produk berkenaan mengikut aspek yang dikehendaki oleh kedua-dua negara berkenaan yang sedang diusahakan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) negeri Terengganu.

"Produk keropok yang dikeluarkan oleh SFISB memang ada permintaan dari kedua-dua negara berkenaan, namun kilang kami masih belum mempunyai sijil bagi membolehkan keropok kami dipasarkan di sana.

"Namun, untuk sementara ini, kami ada menghantar kepada penggemar keropok kami di negara berkenaan menerusi kawan-kawan sekitar 40 kg hingga 50kg setiap penghantaran," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilangnya di Kawasan Perindustrian Cendering di sini pada Selasa.

Zalehah, 51, yang mengusahakan syarikatnya dengan bimbingan suaminya, Ahmad Zubir Ismail, yang merupakan bekas pengurus sebuah bank di sini, berkata SFISB mulai beroperasi pada 2006 dengan membuat keropok lekor bagi pasaran Lembah Klang dan mendapat sambutan begitu baik sekali pada ketika itu.

Bagaimana pun, setelah tiga tahun menjalankan perniagaan, katanya SFISB mendapat saingan sengit dari pengeluar keropok di Selangor, yang menawarkan harga yang rendah, yang tidak mampu dilakukan oleh SFISB.

Zalehah berkata persaingan itu menghasilkan idea bagi memasarkan keropok lekor sejuk beku mulai 2009 dan pertama kali diperkenalkan 300 kg di Kompleks PKNS, Shah Alam dan mendapat mendapat sambutan sangat menakjubkan.

Bermula dari itu, beliau terus mengusahakan produk baharu itu, yang berkonsepkan jualan menerusi 40 kiosk di pasar raya Tesco dan Giant dari utara hingga ke selatan Semenanjung Malaysia.

Katanya kilangnya kini mampu mengeluarkan antara 3.0 tan metrik hingga 4.0 tan metrik keropok lekor sejuk beku sehari, namun beliau hanya mengeluarkan 1.0 tan metrik sehari dengan 10 orang tenaga kerja.

Beliau, yang sebelum ini bekerja dengan sebuah syarikat pengiklanan di Terengganu, berkata SFISB mendapatkan bahan mentah seperti isi ikan tamban dan selayang segar dari pasaran tempatan manakala tepung sagu dari Johor.

"Namun, kami mendapatkan isi-isi ikan termasuk dari Johor dan Sabah jika menghadapi musim tengkujuh," kata wanita gigih beranak tiga itu.

Kini, Zaleha berkata SFISB kini turut melancarkan melancarkan jenama baharu di bawah syarikat itu - Z'Testy - yang akan mewujudkan 30 kiosk menjelang Jun di lokasi strategik di bandar raya ini, dengan memasarkan produk makanan ala Terengganu.

"Kiosk berkenaan akan memperkenalkan ikan celup tepung (ICT), sotong celup tepung (SCT) serta udang bersalut kulit popia selain keropok dengan pembungkusan yang menarik."

"Kiosk-kiosk ini juga akan dijual pada orang perseorangan pada harga antara RM19,600 dan RM25,000 setiap satu, dengan memasarkan produk makanan jenama Z'Testy," katanya.

Katanya beliau dapat banyak bantuan dari Jabatan Perikanan yang menyediakan mesin membuat keropok, MARDI dari segi penyelidikan dan pembangunan, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menyediakan premis perniagaan manakala YPU dan FAMA banyak membantu dari segi promosi.

-- BERNAMA

No comments: