BESUT, 26 Mac (Bernama) -- Ramai pelatih termasuk mereka yang mengikuti
kursus secara sambilan dengan GiatMara berjaya menjadi usahawan yang
mampu menjana pendapatan bulanan melebihi RM7,000.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=937406
Published: March 27, 2013
Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara Meriyam Abd Majid berkata kebanyakan
mereka hanya mempunyai kelulusan menengah rendah, tetapi menggunakan
kemahiran yang mereka pelajari daripada GiatMara, untuk menjadi usahawan
berjaya.
Katanya mereka bermula dengan semangat yang tinggi untuk mempelajari
pelbagai jenis kemahiran yang disediakan GiatMara dan akhirnya mereka
berjaya membesarkan perniagaan dan perusahaan hingga sesetengahnya ke
peringkat antarabangsa.
"GiatMara telah menjalankan tanggungjawab sebagai contoh terbaik
kerajaan membantu penduduk di kampung keluar daripada kemiskinan dan
berjaya dalam perniagaan," katanya kepada Bernama semasa mengadakan
Program 'Kampungku Mahir' di Kampung Beting Lintang di sini semalam.
Menurutnya, ketika ini sebanyak 231 GiatMara beroperasi di seluruh
negara yang menyediakan 42 jenis kursus kemahiran untuk penduduk
terutama kaum belia dan remaja yang berminat dalam bidang perniagaan dan
keusahawanan.
Katanya di peringkat kampung, GiatMara menjelajah bagi memperkenal
beberapa program, termasuk program 'Kampungku Mahir' dan '1 Insan 1
Kemahiran', mengajak penduduk kampung menggunakan kemahiran yang diajar
untuk menjana pendapatan.
"Di peringkat kampung kami menyediakan kursus-kursus kemahiran seperti
dalam sulaman manik, menjahit, membuat kek dan pastri, masakan, solekan
dan membaiki motosikal serta membaiki badan bot," katanya.
Kursus bertaraf tinggi yang turut disediakan termasuk dalam bidang animasi, kerja logam, pastri dan grafik.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment