Sunday, December 30, 2012

Jumlah usahawan tani meningkat

JOHOR BAHRU 28 Dis. - Seramai 1,600 usahawan tani bumiputera dilahirkan di seluruh negeri sepanjang tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 44 peratus berbanding 1,111 orang pada tahun lalu.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121229/wj_01/Jumlah-usahawan-tani-meningkat
Published: December 30, 2012


Adnan Mat Kasim (kiri) menyampaikan sijil kepada seorang usahawan tani semasa Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani Negeri Johor di Johor Bahru semalam.

Pengarah Jabatan Pertanian Johor, Adnan Mat Kasim berkata, kesemua usahawan tani tersebut berjaya mencatatkan pengeluaran kasar mencecah RM36 juta yang sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri serta meningkatkan taraf hidup masyarakat bandar dan luar bandar.

Menurutnya, Jabatan Pertanian negeri komited dalam usaha itu dengan menyumbang pelbagai bantuan kepada para usahawan seiring usaha merealisasikan hasrat kerajaan meningkatkan produktiviti negara melalui pembangunan industri pemprosesan makanan.

“Kami juga sentiasa berusaha menambah dan memantapkan ilmu pengetahuan serta kemahiran pegawai dan usahawan selain bimbingan dalam bidang pembangunan kualiti produk bagi memenuhi keperluan piawaian yang ditetapkan.

“Antara yang menjadi tumpuan adalah penjenamaan, pelabelan dan pembungkusan produk. Melalui penjenamaan, usahawan mampu pergi jauh dan akan lebih dikenali di pasaran tempatan seterusnya antarabangsa," katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian sijil Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani, di sini semalam.

Yang turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Industri Asas Tani negeri, Zaiti Akmal Dahlan.

Tambah Adnan, penekanan turut diberikan daripada aspek Amalan Pengilangan Baik (GMP) dalam pelaksanaan projek dan seterusnya memahami kepentingan untuk mendapatkan pensijilan halal kerana selain daya saing yang tinggi, pengiktirafan tersebut mampu melonjakkan perniagaan.

“Kalau kita amati, sijil halal kini menjadi rebutan di kalangan usahawan bukan bumiputera kerana mereka menyedari sijil tersebut merupakan tiket besar untuk mengembangkan perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa," katanya lagi.

No comments: