Friday, August 2, 2013

TPPA Akan Tingkatkan Kuasa Tawar Menawar Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Seorang pegawai perdagangan berkata penyertaan Malaysia dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) merupakan langkah positif yang membawa petanda baik bagi kedudukan perdagangan negara dalam pasaran antarabangsa.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=967779
Published: August 02, 2013

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Tan Sri Yong Poh Kon, berkata penyertaan Malaysia dalam rundingan-rundingan itu akan meningkatkan kuasa tawar menawar negara dalam perdagangan global.

"Dengan penyertaan 11 negara anggota lain selain AS, ia akan meningkatkan kuasa (tawar menawar) Malaysia kerana kita bukan hanya tawar menawar dengan AS malah dengan negara-negara lain," katanya kepada Bernama pada Hari Terbuka TPPA anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di ibu negara.

Orang ramai di Malaysia pada umumnya bimbang tentang sejauh mana model perjanjian perdagangan TPPA itu boleh memain peranan berkesan dalam menggalakkan perdagangan adil dan Malaysia mungkin mengalami tekanan dan mengalah kepada kuasa politik yang lebih besar.

Pengarah Bahagian Dasar dan Strategi MITI, Isham Ishak, berkata TPP akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia akan memberi akses bagi produk bebas cukai dan pelaburan baharu.

Meskipun TPP boleh membuka pasaran-pasaran baharu produk Malaysia melalui liberalisasi dan mengurangkan duti ke atas produk, namun terdapat kebimbangan yang ditimbulkan bahawa syarikat Malaysia mungkin tidak dapat bersaing dengan peserta-peserta yang lebih besar dalam pasaran.

Dalam hubungan ini, soal membina keupayaan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ditimbulkan pada Hari Terbuka itu.

Isu-isu berhubung kos ubat-ubatan yang lebih tinggi dan kesukaran mendapatkan ubat generik juga ditimbulkan.

Seorang usahawan yang enggan memberikan namanya berkata ia berfaedah bagi usahawan "kerana ia boleh membantu meningkatkan perangkaian saya dan dalam proses itu mewujudkan PKS yang lebih berkualiti dan berdaya saing."

Beliau berkata ia boleh membuka peluang pasaran baharu bagi syarikatnya.

"TPP juga menggalakkan persaingan sihat; dan sebagai pengguna, ia boleh memberikan saya lebih banyak pilihan dan pada harga yang lebih berpatutan," katanya.

--BERNAMA

No comments: