Sunday, December 16, 2012

Promosi kraf zon selatan sasar jualan RM4.5 juta

JOHOR BAHRU 15 Dis. - Promosi Kraf Malaysia 2012 Peringkat Zon Selatan di Padang A Plaza Angsana, di sini selama 13 hari bermula Khamis lalu menyasarkan jualan sebanyak RM4.5 juta.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121216/wj_03/Promosi-kraf-zon-selatan-sasar-jualan-RM45-juta
Published: December 16, 2012

Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sasaran itu realitik berdasarkan promosi tahun lalu berjaya mencapai sasaran perolehan sebanyak RM4.1 juta dengan pasaran tekstil menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah tersebut.

"Kita menyasarkan pembeli berkualiti, bukan jumlah kehadiran pengunjung kerana jika ramai pengunjung yang datang tetapi tak beli pun tak ada guna juga.

"Sehubungan itu, kehadiran warga Singapura turut menyumbang kepada perolehan yang disasarkan memandangkan negeri ini merupakan pintu masuk utama ke negara ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pameran itu semalam.

Sohaimi berkata, program promosi yang diadakan pada tahun kedua itu melibatkan seramai 230 usahawan kraf dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Sohaimi turut menggalakkan pihak swasta menjadikan batik sebagai pakaian ke tempat kerja dan tidak terikat ketika menghadiri majlis rasmi sahaja.

Menurutnya, batik bukan lagi seperti dahulu, sebaliknya lebih kontemporari dan sesuai digayakan ke tempat kerja seperti yang dilakukan di negara jiran, Indonesia yang memartabatkan batik tempatan.

"Kita cadangkan pihak swasta memakai batik setiap Khamis sama seperti yang diamalkan kakitangan kerajaan. Sokongan ini perlu berterusan dan pengusaha batik juga diminta lebih kreatif dalam menyumbang kepada industri di negara ini," katanya.

No comments: