Saturday, December 8, 2012

SDSI menjana ekonomi luar bandar

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melihat pelaksanaan program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) merupakan program yang baik dalam membangunkan ekonomi penduduk luar bandar.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121208/ek_01/SDSI-menjana-ekonomi-luar-bandar
Published: December 08, 2012


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed 
meneliti salah satu produk keluaran syarikat tempatan yang menyertai pameran 
SDSI sebelum ini.

Menurut kementerian itu, program berbentuk komuniti itu memberi peluang kepada lebih ramai pihak terlibat dalam rantaian perniagaan bermula daripada pengeluaran bahan mentah, pemprosesan produk, logistik dan pemasaran produk kepada pengguna.

Pada tahun 2011, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta supaya kaedah pelaksanaan Program SDSI diteliti semula dan diselarikan dengan dasar semasa kerajaan.

Oleh yang demikian, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku urusetia Jawatankuasa Penyelarasan Program SDSI Peringkat Kementerian telah mengambil inisiatif mengkaji dan melakukan penjenamaan semula program SDSI.

Hasilnya, pada tahun 2012, Garis Panduan Baru Pelaksanaan program SDSI telah dikeluarkan dan akan dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Majlis Perasmian Pameran SDSI Peringkat Nasional 2012 pada 8 Disember 2012 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh Melaka.

MITI melihat penjenamaan semula Program SDSI adalah selari dengan dasar-dasar semasa kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, iaitu pendapatan per kapita sebanyak RM48,000 setahun pada 2020.

Kerajaan juga menetapkan sasaran untuk mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada kadar enam peratus setahun sepanjang tempoh Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK-10).

Selain itu, negara berupaya mencatatkan pertumbuhan pelaburan swasta pada kadar melebihi 12.8 peratus setahun.

Menurut MITI, mereka selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Promosi, Pemasaran dan Pembangunan Keusahawanan di Peringkat Kementerian akan terus komited menyokong pembangunan program SDSI.

Ia termasuklah penambahbaikan dan pengenalan program baru yang sesuai dengan kehendak usahawan selari dengan peredaran masa ke arah memperkasakan produk usahawan tempatan ke persada dunia.

No comments: