Saturday, December 8, 2012

120,000 dijangka kunjungi Showcase Satu Daerah Satu Industri

MELAKA 7 Dis. - Seramai 120,000 pengunjung disasar pada Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2012 yang membuka tirainya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh bermula hari ini hingga Ahad.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121208/ws_04/120000-dijangka-kunjungi-Showcase-Satu-Daerah-Satu-Industri
Published: December 08, 2012


PESERTA dari Kemboja, Som Sok Leang (kiri) dan anaknya, Hok Sreyneang (dua dari kiri) memberi penerangan kepada pengunjung mengenai cincin dalam SDSI 2012 di MITC, Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Pengurus Projek SDSI, Safuwan Samah berkata, SDSI edisi ketujuh dijangka menarik minat ramai pengunjung kerana ia menjadi pameran terbesar menghimpunkan produk dan perkhidmatan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang unik dari seluruh negara.

Menurutnya, sejak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menganjurkan SDSI pada 2006, seramai 452,032 orang telah menghadiri pameran tersebut.

"Berdasarkan peningkatan pengunjung sejak SDSI mula diperkenal enam tahun lalu, kita menjangkakan lebih daripada 120,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari SDSI berlangsung.

"Jumlah usahawan produk dan perkhidmatan IKS dari seluruh negara yang mengambil bahagian kali ini bertambah berbanding 524 pempamer pada tahun lalu kepada 580 usahawan.

"Lebih menarik kali ini SDSI mendapat penyertaan luar negara iaitu dari India dan Kemboja yang masing-masing membawa produk seperti batu pertama dan tekstil," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Majlis perasmian Showcase SDSI Edisi Ketujuh itu akan disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed esok.

Safuwan berkata, Showcase SDSI kali ini mempunyai kelainan dan keunikan kerana konsep pameran usahawan mengikut negeri di mana setiap negeri mendirikan pavilion yang menempatkan antara 10 dan 30 usahawan SDSI.

Menurutnya, antara tarikan pada SDSI kali ini selain penyertaan dari dua buah negara ialah menu Malaysia yang menyediakan pelbagai makanan tradisi suku kaum yang terdapat di negara ini.

Selain itu, ujarnya, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai produk dan perkhidmatan daripada usahawan IKS antaranya ialah jem strawberi dari Pahang, jus mangga dari Kedah dan kraf manik dari Sarawak.

Beliau berkata, antara tarikan lain ialah minuman herba dari Melaka, sabun buatan tangan dari Perlis, kain tenun Diraja Pahang dari Pahang dan homestay Lonek di Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Katanya, terdapat pelbagai program bagi memeriahkan lagi SDSI kali ini seperti klinik usahawan, seminar keusahawanan, sesi padanan perniagaan, demonstrasi produk/perkhidmatan SDSI, persembahan kebudayaan dan kesenian serta menu.

"Turut diadakan ialah cabutan pengunjung bertuah dan persembahan daripada artis terkenal seperti Zamzarina, kumpulan Raja Lawak, Jambu dan Cecupak dan ramai lagi," ujarnya.

No comments: