Thursday, December 6, 2012

Gabem Yakin Taraf Ekonomi Bumiputera Terus Melonjak

KANGAR, 5 Dis (Bernama) -- Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) yakin taraf ekonomi Bumiputera akan terus melonjak jika mereka bijak memanfaatkan peluang keusahawanan yang disediakan oleh kerajaan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=714294
Published: December 06, 2012

Pengerusi GABEM, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, kerajaan telah mengambil langkah terbaik untuk meningkatkan ekonomi Bumiputera dalam semua sektor dan ia terletak kepada kebijaksanaan usahawan Bumiputera untuk memanfaatkannya.

Bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan ucaputama pada Program Konsolidasi Patriotisme Ekonomi Bumiputera peringkat zon utara anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh Putra dekat sini Rabu, beliau berkata, lonjakan yang berterusan akan merapatkan jurang ekonomi yang masih luas antara kaum.

Abdul Rahim berkata, matlamat menjadi negara maju menjelang 2020 tidak akan kesampaian jika ekonomi Bumiputera terus terpinggir dalam kegiatan ekonomi.

Beliau berkata, GABEM kini mendekati institusi-institusi pengajian tinggi supaya generasi muda yang terpelajar turut melihat peluang-peluang ekonomi dan mengambil kesepakatan daripadanya.

-- BERNAMA

No comments: