Sunday, December 16, 2012

Iskandar Malaysia - Wilayah Inovasi Dan Keusahawanan, Kata Menteri Kanan Singapura

SINGAPURA, 14 Dis (Bernama) -- Menteri Kanan Negara Singapura bagi Kementerian Perdagangan dan Industri dan Kementerian Pembangunan Nasional, Lee Yi Shyan, menyifatkan Iskandar Malaysia sebagai wilayah inovasi dan keusahawanan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=915400
Published: December 16, 2012

Beliau berkata kebelakangan ini wilayah Iskandar telah berjaya menarik minat ramai pelabur.

Dilaporkan bahawa ramai pelabur asing termasuk beberapa syarikat Singapura telah menimbang membuat pelaburan di sana, katanya.

"Sememangnya, kelebihan Iskandar adalah banyak -- kedekatannya dengan Singapura, ketersediaan tanah dan bekalan buruh yang ramai merupakan antara alasan utama syarikat asing untuk berpindah ke sana.

"Bagi syarikat kita, Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam telah dengan tepat menggambarkan wilayah itu sebagai 'ruang pelengkap yang bagus' bagi Singapura," katanya dalam laman sosial Facebook beliau pada Jumaat.

Lee berkata beliau baru-baru ini melawat dua syarikat Singapura -- Bright Floriculture Sdn Bhd dan Super Group Pte Ltd -- yang membuka operasi di sana dan kagum dengan apa yang beliau lihat.

Menurutnya Bright Floriculture Sdn Bhd di Ulu Tiram, ladang hortikultur yang dimulakan oleh Ong Hock Beng dengan dua adik-beradiknya pada 1991, telah mencatatkan prestasi yang sangat baik.

"Ladang itu telah berkembang. Ia mengeluarkan sayur-sayuran bagi pasaran Malaysia dan Singapura," katanya.

Bagi Super Group pula beliau berkata pada peringkat awalnya syarikat itu merintis pembungkusan produk minuman 3-dalam-1 dan hari ini ia telah mengeluarkan pelbagai jenis produk minuman dan makanan segera di kilangnya di Masai, seperti mi segera dalam cawan, kerepek kentang dan sudah tentunya, kopi.

"Saya dimaklumkan bahawa kemudahan pengeluaran kopi Super merupakan antara yang terbesar di Asia Tenggara," kata Lee.

Lee berkata faktor utama ialah kesanggupan mereka untuk mengagihkan semula aktiviti pengeluaran mereka dengan cara yang logik dan proaktif.

"Pandangan jauh mereka telah membolehkan mereka kekal kompetitif dan berjata meningkatkan keuntungan," katanya.

-- BERNAMA

No comments: