Tuesday, December 25, 2012

Perniagaan rempah Tok Ma maju (SME Bank)

KUALA TERENGGANU 24 Dis. - Bermula dengan jualan kepada jiran dan saudara-mara, rempah segera yang dihasilkan seorang warga emas kini dipasar secara meluas di negeri ini selain mendapat permintaan di Kuala Lumpur.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121225/wt_04/Perniagaan-rempah-Tok-Ma-maju
Published: December 25, 2012

Saleha Muhammad, 65, berkata beliau memulakan kegiatan menjual rempah kari, gulai ikan, daging, ayam dan rempah nasi dagang secara kecil-kecilan sejak 30 tahun lalu.

Mesra dengan panggilan Tok Ma, beliau berkata pada peringkat awal perniagaannya, beliau menyediakan rempah terbabit secara manual bagi meringankan kerja dapur suri rumah.

"Maklumlah, kadang-kadang proses penyediaan di dapur itu menjadi rumit kerana bahan-bahan mentah memerlukan masa yang lama untuk dijadikan pes rencah masakan," katanya ketika ditemui pemberita di Ekspo Halal 1Malaysia, di sini malam semalam.

Katanya, bermula dengan jualan kepada rakan dan jiran, perniagaannya berkembang secara perlahan-lahan apabila ramai pelanggan berpuas hati dengan rempah segera yang disediakannya.

Menerusi galakan tiga anaknya, Saleha mengembangkan perniagaan dan pada 2002 anaknya memohon pinjaman daripada bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Berhad (SME Bank) untuk membiayai pembelian mesin pengisar dan ketuhar bersaiz besar.

Dengan geran RM80,000 daripada SME Bank itu, wanita tersebut mempertingkatkan pengeluaran rempah segera keluarannya dan kini kilang miliknya yang terletak di Bukit Payung mampu mengeluarkan 5,000 peket rempah sehari.

"Kini, setelah 10 tahun mendapat bantuan daripada SME Bank, Tok Ma sangat berpuas hati dengan pencapaian perniagaan kami sekeluarga dan Tok Ma sangat berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan pelbagai skim bantuan kepada usahawan kecil di negara ini.

"Jualan tahunan kini mampu mencecah RM30,000 dan walaupun jumlah itu masih kecil, ia adalah satu pencapaian besar buat Tok Ma, sebagai seorang yang sudah berusia," katanya.

Menurutnya, beliau menguruskan perniagaannya dengan bantuan empat pekerja tetap dan merancang untuk memasarkan produk baharu iaitu rencah masakan dalam bentuk pes.

"Ramai wanita muda yang bekerjaya lebih suka memasak juadah ringkas di rumah kerana keletihan seharian berada di pejabat, namun dengan pes masakan terbaru ini, proses memasak akan menjadi lebih mudah.

Produk rempah segera dengan jenama Tok Ma itu boleh didapati di pasar raya Sabasun dan kedai runcit sekitar Terengganu dengan harga RM1 sepeket 25 gram dan RM4 sepeket 150 gram. - BERNAMA

No comments: