Monday, December 10, 2012

Transformasi produk PKS

KERAJAAN menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang kini menyumbang 33 hingga 34 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 40 peratus.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TransformasiprodukPKS/Article/index_html
Published: December 10, 2012

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha serta transformasi PKS kepada produk yang berkualiti dan bernilai tinggi sedang dilaksanakan menerusi pelan induk PKS yang dilancarkan Julai lalu.

“Pelan Induk PKS bermatlamat melonjakkan sumbangan PKS kepada ekonomi dan seterusnya membawa pembangunan PKS ke satu peringkat yang lebih tinggi,” katanya selepas merasmikan pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2012 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka.

Hadir sama pada pameran SDSI ketujuh yang disertai lebih 500 peserta pameran itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. SDSI adalah pameran tahunan terbesar yang menghimpunkan produk dan perkhidmatan SDSI dari seluruh negara dalam usaha untuk memasarkan dan mempromosikan keluaran SDSI. Pameran tahun ini menyasarkan jualan tunai RM10 juta berbanding RM4.5 juta tahun lalu dan turut membabitkan penyertaan negara luar iaitu Kemboja serta India.

Mengenai SDSI, Mustapa berkata, kementerian turut menyasarkan produk yang dipamerkan mencapai status produk berkualiti tinggi, sekali gus meningkatkan pendapatan.

“Tanda aras kita bagi produk SDSI menyamai produk yang dikeluarkan oleh Thailand dan Jepun, dua negara utama yang terkenal dengan produk SDSI,” katanya sambil menambah program SDSI mendapat pengiktirafan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk dimasukkan dalam Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Katanya, pengiktirafan itu membuktikan program SDSI relevan dan mencapai kejayaan signifikan dalam membangunkan bidang keusahawanan, khususnya Bumiputera.

Pada majlis itu, empat usahawan SDSI mendapat pengiktirafan sebagai usahawan cemerlang apabila memperoleh jualan antara RM200,000 dan RM5 juta setahun, termasuk dari pasaran antarabangsa. - Bernama

No comments: