Friday, December 21, 2012

K-BUG sasar nilai jualan mencecah RM1 juta sepanjang 10 hari karnival

SHAH ALAM - Karnival Bina Usahawan Gemilang (K-BUG) menyasarkan nilai jualan keseluruhan mencecah RM1 juta sepanjang 10 hari karnival itu yang bakal berlangsung dari 22 hingga 31 Disember ini.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/k-bug-sasar-nilai-jualan-mencecah-rm1-juta-sepanjang-10-hari-karnival-1.114195
Published: December 21, 2012

K-BUG, anjuran Syarikat Bina Usahawan yang akan diadakan di Tapak Bazarena berhampiran Stadium Malawati Shah Alam di Seksyen 13 di sini, merupakan satu platform untuk memberikan peluang para penjaja di sekitar Lembah Klang mencari peluang menaik taraf perniagaan masing-masing ke tahap yang lebih baik.

Pengarah Eksekutif syarikat itu, Nordin Mat Jais berkata 240 lot perniagaan disediakan sepanjang karnival itu yang akan menjual dan memasarkan barangan termasuk produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), makanan, produk dari golongan Asnaf dan perkhidmatan seperti urutan refleksologi.

"K-BUG yang julung kali diadakan ini bertujuan membuka peluang kepada golongan penjaja, terutamanya untuk mencari pasaran yang lebih besar selain mempromosikan produk mereka kepada orang ramai."

"Yang menariknya, 60 peratus daripada peniaga merupakan golongan muda yang memang menjadikan perniagaan kecil-kecilan termasuk menjaja di tepi jalan sebagai sumber pendapatan bulanan mereka," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, sasaran nilai jualan itu adalah berdasarkan lokasi strategik karnival berhampiran dengan tapak pasar tani Stadium Shah Alam yang diadakan pada setiap Ahad selain berhampiran laluan utama orang ramai ke beberapa lokasi di Bandar raya Shah Alam.

Nordin berkata, 200,000 pengunjung dijangka hadir pada karnival itu, yang turut menyediakan acara santai untuk keluarga seperti karaoke, pertandingan mewarna dan pameran kenderaan bermotor.

Katanya beberapa kaunter agensi kerajaan dan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia juga disediakan untuk orang ramai mendapatkan maklumat dan perkhidmatan membayar saman.

Mengenai idea untuk menganjurkan K-BUG itu, Nordin berkata ia tercetus berdasarkan pengalamannya sebagai penjaja bermula 20 tahun lepas dengan pendapatan harian yang tidak menentu.

Beliau berkata, perniagaan merupakan satu kerjaya yang memberikan kepuasan namun ia sangat berisiko dan memerlukan kesabaran serta perancangan yang berhati-hati terutamanya dalam hal pengurusan kewangan.

"Saya mahu penjaja berusaha untuk berubah menjadi usahawan dan mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik," katanya.

Nordin berkata, tiada yang mustahil kerana beliau sendiri telah melaluinya, dari pendapatan tidak menentu kini mampu mendapat pendapatan bersih sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan. - Bernama

No comments: