Saturday, December 22, 2012

Persekitaran komprehensif untuk PKS

APAKAH sokongan pembiayaan yang boleh diharapkan oleh PKS daripada kerajaan?
Di Malaysia, kerajaan telah mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara kompetitif dan lestari.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121222/ek_03/Persekitaran-komprehensif-untuk-PKS
Published: December 22, 2012

Terdapat beberapa agensi kerajaan yang boleh dikunjungi PKS bagi mendapat bantuan dan sokongan iaitu Credit Guarantee Corporation (CGC), Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd. (SME Bank), Bank Pertanian Malaysia Bhd. (Agrobank), Export-Import Bank of Malaysia Bhd. (Exim Bank), Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF).

Menerusi agensi di atas, kerajaan menyediakan pelbagai geran dan skim pembiayaan pada kadar rendah kepada PKS untuk membiayai produk, mendapatkan pensijilan kualiti bagi peningkatan proses, menguruskan penambahbaikan sistem, menggalakkan pembangunan pasaran, meningkatkan kemahiran, mengaudit kilang dan memperoleh teknologi strategik.

Di samping itu, kerajaan telah menubuhkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dengan dana berjumlah RM1.5 bilion untuk tempoh tiga tahun berakhir 31 Disember 2012.

Dana ini membolehkan pengeluar dan pengguna teknologi hijau, termasuk PKS, untuk mendapatkan pembiayaan pada kadar rendah setelah kerajaan memberi subsidi dua peratus daripada kadar keuntungan dan menjamin 60 peratus daripada jumlah pembiayaan.

Untuk terus meningkatkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan teknologi hijau, dana bagi GTFS akan ditingkatkan kepada RM2 bilion dan tempoh permohonan dilanjutkan selama tiga tahun dan berakhir pada 31 Disember 2015.

Satu lagi badan yang dikhususkan untuk membantu PKS ialah Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp) yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyampaikan maklumat dengan lebih baik dan juga menawarkan kaedah pembiayaan berbeza kepada PKS.

Sementara itu SME Bank juga telah ditubuhkan untuk menyokong kerajaan dengan menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan kredit kepada PKS.

Bank tersebut akan menguruskan dana bernilai RM1 bilion yang disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS yang diumumkan di bawah Bajet 2013 baru-baru ini.

Ia juga menjalin kerjasama dengan Bank Pembangunan Islam untuk menyalurkan pembiayaan berjumlah RM200 juta kepada Dana Industri Halal bagi membiayai modal kerja PKS yang turut serta.

No comments: