Monday, December 10, 2012

Sasar lahir 1,500 ahli spa tempatan

KOTA KINABALU 9 Dis. - Kerajaan negeri menyasarkan untuk melahirkan 1,500 ahli terapi tempatan menjelang akhir tahun depan bagi mengatasi kekurangan pekerja dalam sektor berkenaan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20121210/wb_04/Sasar-lahir-1500-ahli-spa-tempatan
Published: December 10, 2012

Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Jahid Jahim berkata, untuk tujuan itu lebih banyak program latihan terapi spa akan diwujudkan membabitkan penglibatan kerajaan negeri dan pihak swasta.

"Menjelang 2013, ahli terapi spa dijangka menyaksikan peningkatan yang tinggi dan industri berkenaan berpotensi berkembang pesat dan memberi sumbangan positif kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan negeri," katanya dalam majlis penyampaian sijil program 1Azam untuk pelatih kursus terapi spa di Akademi Latihan Jari-Jari di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan negeri, Datuk Suzannah Liaw.

Yang turut hadir, Pengarah Akademi Latihan Jari-Jari, Datin Jeanette Tambakau.

Jahid memberitahu, tindakan meningkatkan lagi ahli terapi spa tempatan bertepatan dengan usaha kerajaan negeri mengurangkan ahli terapi asing termasuk membekukan pekerja terapi spa warga Filipina berkuat kuasa tahun depan.

Justeru katanya, langkah itu dilihat amat signifikan bagi menggantikan ahli terapi spa asing di negeri ini secara berperingkat.

Dalam pada itu, beliau berharap setiap akademi latihan terlibat dapat memastikan pelatihnya dibekalkan dengan kemahiran mencukupi.

Tambahnya, pihak akademi berkenaan juga harus mengutamakan kebajikan pelatih seperti memastikan semua pelatih mendapat pekerjaan sebaik sahaja tamat latihan.

"Pihak akademi perlu membantu memeriksa latar belakang bakal majikan pelatihnya bagi memastikan kebajikan pelatih mereka sentiasa terjamin," ujarnya.

No comments: