Sunday, December 30, 2012

Kasut manik masih bertahan

MELAKA 27 Dis. - Industri pembuatan kasut kini merentas arus kemodenan dengan pelbagai ciptaan dan reka bentuk yang cantik mampu menarik minat sesiapa sahaja. Kepelbagaian rekaan bergantung sepenuhnya pada kreativiti perekanya dalam menzahirkan idea yang mampu memberi impak serta keselesaan kepada pemakai.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121228/ws_01/Kasut-manik-masih-bertahan
Published: December 30, 2012


TIGA beradik (dari kanan) Fatin Fizah Jaafar, Iwana Izati 
Jaafar dan Fadura Diyana Jaafar menunjukkan sulaman 
manik yang telah siap untuk dipasang pada kasut.

Kasut sebenarnya telah dicipta sejak ratusan tahun lalu dengan menggunakan pelbagai bahan termasuk kulit, kain, getah dan kayu.

Kesemuanya bermotifkan satu iaitu memberi keselesaan kepada pemakai yang pelengkap bagi melindungi tapak kaki daripada sebarang kecederaan.

Dunia kini dilambakkan dengan pelbagai rekaan kasut yang serba moden sehinggakan sesuatu rekaan yang bersifat pelik atau unik mampu menambah warna kepada jaluran industri kasut itu sendiri.

Biarpun rekaan kasut kini semakin moden, ciptaan kasut yang dianggap tradisional oleh sesetengah pihak masih mampu mencuri tumpuan ramai.

Tidak hanya sebagai pelengkap gaya kepada sesuatu fesyen, kasut tradisional sebenarnya boleh dijadikan cenderamata atau perhiasan.

Salah satu kasut tradisional yang masih berbisa dari segi sambutan ialah kasut manik muka yang lebih dominan dihasilkan oleh masyarakat Baba dan Nyonya.

Jarang benar kita lihat kasut yang amat padan digayakan dengan busana kebaya dan cheongsam itu diusahakan oleh mereka yang bukan daripada kelompok Baba dan Nyonya.

Di negara ini, cakap sahaja tentang kasut manik pasti akan mengingatkan ramai orang kepada Melaka negeri Hang Tuah yang bersejarah.

Bagi mereka, Melaka tempat yang paling tepat untuk menjejaki kasut manik muka yang asli malah halus dari segi sulaman dan corak.

Seni sulaman yang dimiliki oleh golongan Baba dan Nyonya ternyata tidak boleh disangkal kerana kebanyakan mereka mempelajarinya sedari kecil malah, mewarisi kemahiran tentang menghasilkan corak yang bermutu daripada nenek moyang mereka.

Bagi golongan itu, anak gadis wajib mempelajari seni sulaman sebagai persediaan untuk menghiasi barangan perkahwinan mereka sendiri.

Berbalik kepada kasut manik, pelbagai corak yang dihasilkan seperti bunga dan abstrak dengan olahan warna, menarik perhatian ramai.

Semenjak tahun 1920-an, kasut manik menjadi fesyen semasa dan sering digayakan oleh masyarakat Baba dan Nyonya bersama sarung dan kebaya mereka.

Mutu dan ketulenan sulaman bagi mereka menjadi satu kemestian malah, manik-manik yang digunakan adalah halus iaitu berdiameter 1 milimeter dan kebanyakannya diimport dari luar negara termasuk Jerman, Perancis dan Itali.

Kasut manik yang dahulunya direka dengan tapak rata kini dimodenkan kepada tapak yang lebih tinggi bagi kesesuaian dipadankan dengan busana tertentu.

No comments: