Monday, December 3, 2012

Ketelitian si penjahit manik

KUCHING 2 Dis. - 'Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'. Itulah perumpamaan lama yang boleh dikait dengan tradisi masyarakat Orang Ulu dan Bidayuh dalam memartabatkan seni warisan dan budaya nenek moyang mereka.

Selain memelihara nilai keagungan kraf tempatan seperti anyaman tikar dan bakul, manik adalah antara seni kraftangan yang sinonim dengan kebudayaan etnik masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20121203/wb_01/Ketelitian-si-penjahit-manik
Published: December 03, 2012


Pemilik Native Handwork, Juliana Ambrose, menunjukkan bakul-bakul yang belum dibalut dengan manik di butiknya di Jalan Tun Abang Haji Openg, Kuching, baru baru ini. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

Menariknya, manik menjadi elemen fesyen utama untuk digayakan bersama baju tradisional pelbagai kaum di sini, baik lelaki mahu pun perempuan.

Menyedari nilai warisan bangsa yang perlu dijaga, pemilik Native Handwork, Juliana Ambrose, 45, menjalankan perniagaan menjahit pakaian tradisional dan aksesori wanita di butiknya di Jalan Tun Abang Haji Openg di sini.

Sejak tiga tahun beroperasi, Juliana mengakui bidang jahitan manik sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi.

Hal ini kerana hasilnya dapat mencerminkan nilai peribadi pembuatnya yang teliti.

Bercerita tentang awal penglibatannya, Juliana memberitahu, ketika kecil dahulu dia sering melihat neneknya mengambil upah menghasilkan hamparan alas meja dan topi manik.

Katanya, ketika itu tidak terlintas langsung dirinya akan meneruskan tradisi menjahit manik, namun siapa sangka kini telah merupakan punca pendapatan utama bagi keluarganya.

"Kelebihan menjahit manik adalah kerana cara jahitan dan konsep rekaannya tidak jauh berubah.

"Berbeza dengan menjahit pakaian-pakaian berfesyen seperti baju kurung dan kebaya yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman," katanya.

Ibu kepada tiga cahayamata ini mengakui, menjahit manik memang memerlukan ketelitian, selain mengambil masa yang agak lama.

Jelasnya, atas sebab itulah pada zaman sekarang, agak susah hendak memperoleh jahitan manik yang dihasilkan dengan kehalusan kerja tangan, sebaliknya banyak yang menggunakan teknologi mesin.

Menyedari pemakaian jahitan manik merupakan identiti wanita di negeri ini, Juliana berusaha mempelajari jahitan manik yang lebih kreatif dengan bekas majikannya yang berbangsa Cina.

"Saya betul-betul mahir dalam menjahit pelbagai aksesori manik hanya setelah 25 tahun bekerja di butiknya yang terletak di Jalan Main Bazar.

"Selain itu, bekas majikan saya itu juga antara individu yang sering memberikan dorongan dan semangat kepada saya untuk membuka perniagaan sendiri, selain keluarga," katanya.

Bercerita tentang sambutan pelanggan, katanya, permintaan pasaran manik kini kurang menggalakkan kerana generasi masa kini kurang menyedari kepentingan menghargai warisan tradisi itu.

"Permintaan terhadap jahitan manik pada masa kini agak kurang kerana pengaruh fesyen dari luar negara yang sering mengetengahkan aksesori seperti besi dan gangsa," jelasnya.

Namun, katanya, dia sentiasa berusaha memberikan nafas baharu dalam rekaan manik dengan menjahitnya pada aksesori lain seperti beg, dompet, kasut dan cekak rambut.

Sentuhan asli Juliana itu begitu mendapat sambutan hebat daripada para peminat hasil kraf seperti pemborong dan pembeli di Semenanjung.

"Pada Oktober lalu, saya ada mengikuti Hari Kraf Kebangsaan 2012 di Jalan Conlay, Kuala Lumpur selama seminggu.

"Ini merupakan kali pertama penglibatan saya dalam aktiviti sedemikian dan saya lihat pasaran di sana cukup menggalakkan apabila kesemua barangan habis dijual," katanya.

Menceritakan keunikan manik, terbahagi kepada dua jenis iaitu manik kaca dan manik plastik.

Menurut wanita yang berasal dari Kampung Gundak di sini, manik kaca lebih mendapat sambutan daripada pelanggan kerana nilai dan kualitinya yang tinggi.

Katanya, walaupun harga satu rekaan manik kaca boleh mencecah hingga ribuan ringgit, namun masih terus mendapat tempat dalam kalangan segelintir peminat manik.

Selain itu, Juliana berbangsa Bidayuh ini memberitahu, harga manik kaca lebih mahal daripada manik plastik kerana perlu diimport dari luar negara.

"Saya banyak mengambil bekalan manik kaca dari China dan Jepun dengan harga RM18 setengah kilogram kerana lebih halus dan berkilat.

"Adat berniaga, kita perlu menanggung kerugian apabila separuh daripada bekalan tersebut pecah dan tidak boleh digunakan," katanya.

Katanya, menjahit manik untuk dijadikan hamparan alas meja adalah yang paling sukar kerana ia memerlukan tenaga dan masa yang lebih bagi mendapatkan hasil yang kemas.

"Menjahit alas meja manik adalah yang paling susah kerana sekiranya tidak dijahit dan disambung dengan betul, akan mempengaruhi rekaan.

"Sebab itulah dalam masa sehari saya hanya boleh menyiapkan empat hingga enam baris jahitan manakala dalam tempoh tiga bulan baru siap sepenuhnya," katanya.

Selain itu, Juliana berkata, cabaran lain yang perlu dia hadapi adalah kerenah para pelanggan yang bermacam ragam dan ada yang masih tersimpan kemas dalam ingatannya hingga hari ini.

"Pernah sekali, akibat terlalu mempercayai seorang pelanggan tetap, hutang tidak dibayar walaupun setelah berkali-kali dia berjanji.

"Malah, ada pula yang meminta saya menjahit sekali lagi, dek kerana tidak suka dengan warna manik yang saya gunakan," ujarnya.

No comments: