Thursday, December 6, 2012

Kem Usahawan Untuk Penuntut Malaysia Di Amerika Syarikat

WASHINGTON, 5 Dis (Bernama) -- Penuntut Malaysia di universiti di Amerika Syarikat kembali ke kampus masing-masing pada Ahad bersama idea dan aspirasi untuk membuka syarikat sendiri, selepas mengikuti 'Entrepreneur Boot Camp' (kem keusahawanan) selama dua hari, anjuran Education Malaysia di sini.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=714015
Published: December 06, 2012

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/kem-usahawan-untuk-penuntut-malaysia-di-amerika-syarikat-1.109917
Published: December 06, 2012

Pengarahnya bagi sektor Pantai Timur, Dr Posiah Mohd Isa berkata sekarang adalah masa untuk membuka minda pelajar kepada opsyen selain daripada mencari pekerjaan, selepas mereka menamatkan pelajaran.

Katanya penuntut boleh menimbang untuk memiliki perniagaan sendiri dan mencipta peluang pekerjaan pada masa depan.

Kira-kira 50 penuntut Malaysia dari 16 universiti berada di Kedutaan Malaysia di sini pada hujung minggu lepas, bagi menjalin rangkaian kerja bersama rakan sebaya dan usahawan Malaysia yang memiliki perniagaan di negara ini.

Mereka pastinya mendapat inspirasi untuk mengikut jejak langkah usahawan Malaysia yang berjaya menembusi pasaran Amerika. Antara yang memberi tips keusahawanan kepada mereka ialah Dr Avijit Roy daripada AR Bio-Sciences.

Pakar imunologi yang kini menjadi usahawan itu berkongsi idea mengenai pemodal teroka, manakala pelajar yang juga usahawan Izzat Rahman daripada KayuhBicycles menceritakan visinya mengenai kehidupan sihat.

Taufiq Hussien daripada Comet Networks pula mendedahkan Amerika merupakan pasaran yang besar dan "anda boleh menghasilkan wang daripada sampah jika anda tahu bagaimana hendak memasarkannya."

Reez Nordin dari Boston yang membangunkan aplikasi, berkongsi tips mengenai kriteria yang dicari oleh pemodal teroka untuk memulakan perniagaan.

Azreen Latiff dan Aris Samad Yahaya yang mengasaskan Quick School di Silicon Valley, California, bercerita melalui persidangan video mengenai saingan sengit yang mereka hadapi, namun tetap meneruskan perniagaan dengan prinsip: "Mengalah bukan satu opsyen."

Peserta kem turut mendapat manfaat daripada Peter Su yang bertugas di Pejabat Gabenor Virginia dan mendengar tentang faedah serta perkhidmatan yang disediakan negeri itu kepada usahawan baharu, sementara peguam harta intelek Joseph F Aceto memberi tips mengenai cara melindungi produk dan idea baharu.

Peguam berkaitan imigresen Aik Wan Kok Fillali memberi penjelasan mengenai syarat visa sebelum seseorang warga asing boleh menjalankan perniagaan di Amerika, manakala Muhd Shahrulmiza daripada Matrade di New York serta Hairil Yaakob yang mewakili Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bercakap mengenai pertumbuhan pasaran Asean dan Asia.

Sharulmiza juga memberitahu mengenai peluang bagi rakyat Malaysia yang mahu membuka restoran di negara ini di bawah Program Dapur Malaysia.

Peserta kem terbabit merupakan penuntut di University of Maryland, Temple University, Stevens Institute of Technology, John Hopkins University, Townsend university, Rutgers University, Rennsalear Institute of Technology, Georgetown University, George Washington University, George Mason University, Northern Virginia Community College, Rochester Institute of Technology, Johnson and Wales University, State University of New York, American University dan Pennsylvania State University.

-- BERNAMA

No comments: