Sunday, December 30, 2012

Dari pekerja kilang Maszni kini pengusaha kasut

MELAKA 27 Dis. - Asalnya bermula dengan sekadar mencuba namun setelah melihat potensi besar terhadap pasaran kasut manik, Maszni Abdul Aziz, 43, mendalami ilmu menghasilkan jahitan manik. Dia yang sebelum ini merupakan seorang pekerja kilang menjadikan minat terhadap sulaman kasut manik sebagai punca rezeki buatnya sekeluarga.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121228/ws_02/Dari-pekerja-kilang-Maszni-kini-pengusaha-kasut
Published: December 30, 2012


MASZNI Abdul Aziz menyusun kasut sulaman manik bermotif 
tradisional dan moden yang di gerai pamerannya di Dataran 
Memorial Kemerdekaan Banda Hilir, Melaka, baru-baru ini.

Mempelajari seni sulaman kasut manik daripada jirannya yang berketurunan Baba dan Nyonya sejak 12 tahun lalu, Maszni kini merupakan seorang pengusaha kasut manik Melayu yang berjaya di negeri ini.

Sering mengikuti pelbagai acara yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan memudahkan Maszni memasarkan hasil sulamannya ke luar negara.

Pengusaha kasut berjenama Sparkle Beads itu meletakkan kemahiran dan minat sebagai fokus utama dalam penghasilan kasut manik biarpun terpaksa menongkah arus bersaing dengan masyarakat Baba dan Nyonya yang lebih dominan dalam industri itu.

"Saya melihat cabang penghasilan kasut manik Baba dan Nyonya ini begitu sedikit dipelopori kaum lain termasuk Melayu.

"Sewaktu melihat jiran saya yang memperoleh tempahan dan permintaan tinggi setiap bulan, saya berfikir apa salahnya mencuba.

"Pada permulaan saya hanya menjual hasil sulaman manik, namun lama-kelamaan selepas kemahiran saya dikesan Kraftangan Malaysia, saya mula berjinak-jinak menghasilkan kasut manik dan kini alhamdulillah semakin mendapat sambutan," katanya.

Kata Maszni, dia bertuah kerana pernah tinggal di kawasan kejiranan kaum Cina Baba Nyonya yang rata-rata mereka menjadikan jahitan kasut manik sebagai punca rezeki.

Menurutnya, daripada situlah bermulanya hasil pertukangan tangannya itu yang kini menjadi pendapatan utamanya.

Katanya, biarpun terpaksa bermula dengan modal yang cukup terhad iaitu RM200 sahaja semangatnya untuk berjaya ketika itu tidak luntur.

Selain merupakan satu-satunya pengusaha Melayu yang menghasilkan kasut manik, Maszni menganggap bakat yang dimilikinya dianggap sesuatu yang istimewa dan tidak wajar dibiarkan begitu sahaja.

Ingin menyambung legasi seni sulaman kasut manik dalam kalangan masyarakat Melayu, Maszni kini melatih tiga anak gadisnya yang berusia antara 13 hingga 19 tahun dengan kepakaran tersebut.

Katanya, penghasilan kasut manik tidak sesukar yang disangka kerana teknologi moden membolehkan draf rekaan dihasilkan terlebih dahulu menggunakan komputer sebelum ditampal dan disulam pada kain yang dipilih.

Bagi menghasilkan sulaman yang cantik, Maszni akan memastikan sulaman dilakukan di bahagian tepi terlebih dahulu sebelum dilengkapkan di bahagian tengah.

"Ia bertujuan mengelak sulaman menjadi longgar serta lari daripada bentuk rekaan asal dan sepasang kasut mengambil masa sebulan untuk disiapkan," katanya.

Jelas Maszni, antara corak rekaan yang menjadi pilihan utama pelanggannya ialah abstrak dan bunga yang dilihat senang dipadankan dengan pelbagai gaya.

Kata Maszni, dia memperoleh manik yang bersesuaian dari Jepun untuk jahitan kasut dan sepasang kasut yang dihasilkan dijual pada harga RM150 ke atas.

Kasut berjenama Sparkle Beads itu kini mendapat perhatian negara luar termasuk Jepun, Korea, Taiwan dan Singapura.

Mereka yang berminat mendapatkan kasut yang dihasilkan Maszni boleh menghubunginya di talian 06-2615144 atau ke bengkel sulaman manik, Kampung Berangan 6, Umbai, Melaka, di sini.

No comments: