Friday, December 7, 2012

Promosi Kraf Zon Selatan Di Plaza Angksana Sasar Jualan Lebih RM4.5 Juta

JOHOR BAHARU, 6 Dis (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menjangka jualan Promosi Kraf Malaysia Peringkat Zon Selatan 2012 yang akan berlangsung di Plaza Angsana di sini, mulai 13 sehingga 25 Dis melebihi sasaran RM4.5 juta.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=714520
Published: December 07, 2012

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Shahrudin Mohd Nor berkata sasaran ini dapat dicapai berikutan penambahan aktiviti yang boleh menarik pengunjung seperti pameran hiasan laman dan taman, demonstrasi kuih dan makanan tradisional.

"Objektif kita kali ini ialah untuk mengetengahkan hasil industri kraf yang lebih moden dan bersifat kontemporari bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa," katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Penyelarasan Kerjasama Promosi Kraf Malaysia Peringkat Zon Selatan 2012 di sini Khamis.

Shahrudin berkata melalui promosi ini juga, nilai perpaduan dan kemasyarakatan rakyat pelbagai kaum akan ditonjolkan.

Antara acara menarik yang turut diadakan sepanjang promosi itu termasuk demonstrasi pembuatan kraf ukiran batu (Kedah), kraf anyaman rotan (Negeri Sembilan), kraf sulaman kelingkan (Kelantan), demonstrasi kuih dan makanan tradisional seperti lemang, martabak Singapura dan laksa Johor.

Turut dipersembahkan ialah permainan gasing pangkah, congkak, peragaan fesyen, pertandingan kraf kreatif dan karaoke rakyat.

-- BERNAMA 

No comments: