Wednesday, June 13, 2012

‘Pastikan ekonomi terus mapan’

Bajet 2013 ambil kira persediaan hadapi pertumbuhan global tak menentu
BAJET 2013 antara lain akan mengambil kira persediaan menghadapi keadaan tidak menentu ekonomi global bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus kukuh, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2012061306260720120613062607/Article
Published: on 13 Jun 2012

Beliau berkata, ia juga bagi memastikan negara ini terus menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif terutama kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta meningkatkan lagi kemasukan pelaburan langsung asing (FDI). “Dalam Bajet 2013 ini, apa yang paling penting adalah untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara terus mapan serta ia disediakan bagi menghadapi cabaran yang mungkin dihadapi daripada krisis di Eropah serta beberapa negara lain.

“Apabila keadaan ekonomi negara baik, maka wujudlah lebih banyak peluang termasuk dari aspek perniagaan serta pelaburan dan ini yang diharapkan kementerian,” katanya pada sidang media selepas majlis penghargaan kepada kakitangan MITI yang bersara, 25 tahun dalam perkhidmatan awam serta penerima perkhidmatan cemerlang 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Nik Rahmat Nik Taib dan Mohd Ridzal Sheriff.

Mustapa berkata, pada masa ini MITI masih mengadakan perbincangan bagi mendapatkan maklum balas peserta industri termasuk dari dewan perniagaan dan perdagangan serta Persatuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) berhubung inti pati Bajet 2013, dan berharap ia akan terus memberikan tumpuan kepada pengembangan PKS di negara ini.

“Kami berharap kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada PKS. Dalam bajet yang lalu beberapa program khusus untuk sektor ini telah diumumkan dan berharap ia akan diteruskan dan kerajaan memperkenalkan program baru kepada sektor ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga dijangka akan memperkenalkan insentif baru atau yang diberi nilai tambah dalam usaha meningkatkan kemasukan FDI ke negara ini.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, eksport Malaysia dijangkakan mengukuh pada separuh kedua tahun ini bersandarkan kepada jangkaan pemulihan ekonomi global, yang melonjakkan semula permintaan eksport barangan perkilangan dan komoditi.

Beliau berkata, berdasarkan faktor berkenaan, kementerian menjangkakan negara mampu mencatatkan pertumbuhan eksport antara lima hingga enam peratus seperti mana yang disasarkan bagi keseluruhan tahun ini.

No comments: