Thursday, May 2, 2013

Produk Saji terbaharu dilancar

JEMPOL 1 Mei - Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) menerusi syarikat sekutunya, Delima Oil Products Sdn. Bhd. (Delima Oil) hari ini melancarkan produk jenama Saji terbarunya iaitu Saji Krimer Manis Teh Tarik dan Saji Krimer Sejat Teh-C.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130502/ko_01/Produk-Saji-terbaharu-dilancar
Published: May 02, 2013


Mohd. Isa Abdul Samad yang juga calon Barisan Nasional Parlimen Jempol (dua, kanan) menunjukkan dua jenis produk baharu Saji yang dilancarkan di Jempol, samalam. Turut kelihatan (depan, dari kiri) isteri Pengerusi Felda, Puan Seri Bibi Sharliza Mohd. Khalid, Calon Dewan Undangan Negeri Bahau, Dr. Yee Mee Faa dan Zakaria Arshad. - BERNAMA

Produk terbaharu ini merupakan penambahan kepada produk keluaran Delima Oil, menjadikan kedua-dua produk itu yang ke-49 dan 50 dihasilkan oleh syarikat itu.

Majlis pelancaran produk terbaharu Delima Oil itu disempurnakan oleh Pengerusi Felda Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad di padang Majlis Daerah Jempol, Bahau di sini yang turut dihadiri kira-kira 2,000 orang. Turut hadir ialah Naib Presiden Kanan/Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil, Zakaria Arshad.

Bercakap kepada pemberita, Zakaria berkata, produk terbaharu Saji Krimer itu bakal menembusi pasaran secara berperingkat-peringkat mulai bulan ini dan dijangka akan memenuhi pasaran 6,000 rangkaian niaga pada Julai depan.

Beliau berkata, Delima Oil telah memperuntukkan kira-kira RM1 juta untuk pemasaran jenama Saji Krimer.

"Saji Krimer Manis Teh Tarik ini dikhususkan untuk pengguna tempatan yang gemarkan minuman teh tarik yang lebih berkrim, dengan buih yang bertahan lebih lama.

"Manakala Saji Krimer Sejat Teh-C memenuhi cita rasa penggemar minuman yang berkrim tanpa gula," katanya.

Selain itu, katanya, pengeluaran produk terbaru jenama Saji ini adalah usaha berterusan Delima Oil untuk mengembangkan perniagaan dengan menambah produk sedia ada, di samping menjalankan pelan perniagaan FGV untuk meningkatkan hasil hiliran daripada lima peratus kepada 30 peratus dalam tempoh lapan tahun.

Pengembangan itu juga, katanya, merupakan salah satu usaha bahagian hiliran FGV bagi merealisasikan hasrat kumpulan untuk muncul sebagai kumpulan perniagaan tani bersepadu terbesar dunia menjelang 2020.

Zakaria berkata, Delima Oil bercadang untuk mengembangkan pasaran dua produk terbaru ini ke luar negara seperti mana rangkaian Saji Krimer sedia ada yang telahmenembusi beberapa pasaran luar seperti Filipina dan Maldives. - BERNAMA

No comments: