Friday, November 2, 2012

100,000 dijangka kunjungi HalFest 2013

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Pameran halal terbesar negara, Halal Fiesta Malaysia 2013 (Halfest 2013) menyasarkan kira-kira 100,000 pengunjung pada tahun hadapan.
Ahli Sekretariat Halfest, Mohd. Shukri Abdullah berkata, pihaknya yakin dapat menarik lebih ramai pengunjung ekoran publisiti dan penyertaan yang diberikan sempena pameran itu baru-baru ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20121102/ko_03/100000-dijangka-kunjungi-HalFest-2013
Published: November 02, 2012

Menurutnya, jumlah pengunjung meningkat sebanyak 33 peratus tahun ini iaitu kepada 67,532 orang berbanding 50,685 tahun lalu.

"Penyertaan syarikat-syarikat kecil dan sederhana juga meningkat daripada 545 syarikat pada 2011 kepada 637 tahun ini, manakala 637 gerai pameran disediakan pada tahun 2011 meningkat kepada 711 gerai pada 2012.

''Oleh sebab itu, kita yakin dapat mencapai peningkatan pengunjung bagi Halfest yang bakal dilangsungkan pada 2 hingga 6 Oktober 2013," katanya dalam satu sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Hadiah Halfest 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi dan Sekretariat Halfest, Datuk Syed Hussien Al Habshee dan Pengarah Bahagian Perhubungan Usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yahya Ibrahim.

Pada majlis itu, seramai 100 pengunjung bertuah Halfest 2012 menerima hadiah berupa Ipad.
Mohd. Shukri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia Sdn. Bhd. berkata, pihaknya tidak mampu menambah jumlah gerai pameran berikutan ruang yang disediakan di PWTC hanya dapat menampung sebanyak 711 gerai.

Kata beliau, pihaknya akan menggunakan kemudahan dewan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang mampu memuatkan 2,000 hingga 3,000 gerai pameran dan dijangka siap menjelang 2015.

''Bagaimanapun, kita hanya menetapkan 1,000 gerai pameran di dewan tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu Mohd. Shukri menjelaskan, pihaknya juga telah menyenarai pendek 80 syarikat yang menyertai Halfest 2012 untuk diketengahkan pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).

"Tapisan akan dibuat dan hanya 20 syarikat yang benar-benar layak akan diberikan gerai pameran ketika MIHAS pada April depan," katanya.

No comments: